KUALA LUMPUR 8 Okt. - Cadangan penggabungan UEM Sunrise Bhd. dan Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld) boleh menjejaskan profil kredit kumpulan UEM Sunrise yang diperbesarkan.
Agensi penarafan, Malaysian Rating Corporation (MARC) berkata, terdapat potensi kelemahan profil kredit dalam kumpulan hartanah itu.
"Kiraan awal menunjukkan nisbah hutang kepada ekuiti (DE) boleh meningkat kira-kira 0.90x daripada 0.56x setakat akhir Jun 2020.
"Dengan mengambil kira faktor ini bersama penilaian perniagaan dan kewangan entiti yang akan digabungkan, ia akan menjadi pemacu utama kepada MARC dalam membuat penarafan terhadap UEM Sunrise," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MARC akan memantau segala perkembangan dalam cadangan penggabungan itu dan hanya akan membuat keputusan penarafan yang teliti apabila langkah itu dimuktamadkan.
UEM Sunrise buat masa ini menerima penarafan stabil dengan penilaian MARC-1IS/AA-IS yang memiliki dua Kertas Komersial Islamik/Program Nota Jangka Sederhana Islamik bagi pemaju hartanah masing-masing bernilai RM2 bilion.
Setakat 25 September 2020, UEM Sunrise adalah 66.1 peratus dimiliki oleh UEM Group Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd.
Menerusi cadangan penggabungan itu, Khazanah menerusi UEM Group akan kekal sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat penggabungan tersebut diikuti pemegang saham utama oleh EcoWorld. - Dagangnews.com