Ketua Perbankan Peribadi dan Kekayaan HSBC Malaysia, Renee Bullock-Cann
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pengguna di Malaysia perlu melengkapkan diri dengan tahap celik digital yang tinggi supaya dapat meningkatkan akses kepada literasi kekayaan yang menjadi asas kepada pertumbuhan kekayaan mereka pada masa depan, demikian menurut HSBC Malaysia.
Apatah lagi perbankan digital dijangka berkembang lebih 20% setahun sehingga 2025, dan mereka yang kurang celik kewangan atau digital berisiko untuk ketinggalan di belakang.
"Ini kerana lebih banyak proses akan diautomasikan dan institusi kewangan menggunakan teknologi kewangan untuk menyampaikan perkhidmatan kepada pengguna dan perniagaan menerusi peranti digital.
"Oleh itu, individu perlu memiliki minda pertumbuhan digital untuk membolehkan mereka berkembang maju dan mengembangkan kekayaan peribadi," katanya dalam kenyataan hari ini.
HSBC turut meninjau peningkatan hubungan dan interaksi antara kesejahteraan kewangan, fizikal dan mental.
Dengan memetik kaji selidik yang dijalankannya pada 2021 terhadap 10,000 responden, HSBC mendapati 75% daripadanya menyatakan kedudukan kewangan berkait rapat dengan tahap kesihatan mental mereka.
Sehubungan itu, Ketua Perbankan Peribadi dan Kekayaan HSBC Malaysia, Renee Bullock-Cann berkata, pandemik COVID-19 memerlukan pemikiran semula banyak aspek komuniti termasuk kaedah mengumpul kekayaan, memelihara dan mewariskannya.
"Dalam hal ini, kami melihat cabaran terhadap perpindahan kekayaan, bahagian masyarakat yang perlu meningkatkan literasi digital dan kekayaan menjadi sebahagian daripada pendekatan yang lebih luas untuk kesejahteraan, berbanding dirinya sendiri," jelas beliau.
Menurutnya, institusi kewangan perlu bergerak seiring dengan trend baharu muncul, dan ia adalah langkah terbaik untuk membantu para pelanggan membina masa depan yang lebih mapan di sebalik cabaran pandemik.
Di HSBC, katanya, mereka terus mengintegrasikan penyelesaian pengurusan dan wawasan kekayaan bersama perbankan mudah alih untuk memberi pelanggan pengalaman perbankan yang lebih mudah dan mantap.
Selain menguruskan akaun secara dalam talian, para pelanggan boleh mengakses dan melabur dalam unit amanah menerusi EZinvest, sebuah platform pelaburan unit amanah yang ditawarkannya menerusi aplikasi mudah alih. - DagangNews.com