Penggunaan bahan api boleh diperbaharui untuk pengangkutan laut Volvo Cars kurangkan 84% pelepasan CO2 | DagangNews Skip to main content

Penggunaan bahan api boleh diperbaharui untuk pengangkutan laut Volvo Cars kurangkan 84% pelepasan CO2

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Volvo Cars akan menggunakan bahan api boleh diperbaharui untuk pengangkutan kontena laut yang membawa bahan-bahan pengeluaran untuk kilang-kilang pembuatannya yang berpusat di Eropah dan Amerika, serta semua pengedaran alat ganti yang dihasilkan secara global.

 

Sebagai pembuat kereta global pertama yang mengumumkan perubahan baharu ini, pengurangan pelepasan CO2 fosil sebanyak 55,000 tan akan dicapai oleh Volvo Cars dalam masa setahun melalui pengangkutan laut antara dunia. 

 

Bahan api boleh diperbaharui itu juga akan mengurangkan pelepasan CO2 sehingga 84% berbanding bahan api fosil. Pengurangan bersamaan dengan pelepasan CO2 sebuah trak penuh muatan yang bergerak mengelilingi khatulistiwa sebanyak 1,200 kali. 

 

Bahan api yang digunakan ialah Asid Lemak Metil Ester (FAME) yang berasaskan sumber-sumber boleh diperbaharui dan mampan seperti minyak masak terpakai. Tiada bahan mentah yang berkaitan dengan pengeluaran minyak sawit ataupun minyak sawit telah digunakan.

 

Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan CEO Volvo Cars, Javier Varela berkata, penggunaan bahan api boleh diperbaharui bukanlah langkah terakhir dalam mengeluarkan CO2 daripada keperluan pengangkutan laut dunia.

 

"Namun inisiatif ini menunjukkan bahawa kita boleh bertindak sekarang dan melaksanakan rumusan untuk mencapai hasil yang ketara sementara menunggu alternatif teknologi untuk jangka masa panjang. Kami tidak melihat inisiatif ini sebagai kelebihan dalam persaingan. 

 

"Sebaliknya, kami ingin pembuat kereta lain untuk mengikut serta dalam meningkatkan permintaan untuk pengangkutan laut yang jimat karbon serta meletakkan bahan api boleh diperbaharui sebagai rumusan jangka masa sederhana yang berkesan. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk bertindak," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Volvo Cars mengusahakan inisiatif itu bersama-sama dengan rakan logistik mereka Maersk, Kuehne+Nagel, dan DB Schenker. Penyedia-penyedia perkhidmatan logistik tersebut telah bertukar ke bahan api boleh diperbaharui bermula 1 Jun 2023 untuk semua penghantaran kontena Volvo Cars. 

 

Sekiranya bahan api boleh diperbaharui tidak tersedia pada penghantaran tertentu, peruntukan bahan api boleh diperbaharui tersebut akan digunakan oleh rakan logistik Volvo Cars untuk penghantaran pelanggan lain, menjadikan potongan penggunaan bahan api fosil setara dengan penggunaan sebenar oleh kapal kontena. 

 

Kaedah itu, yang dikenali sebagai pengimbangan massa, diaudit oleh pihak ketiga secara berkala. Bahan api boleh diperbaharui itu telah diperakui dan tidak dihasilkan dalam persaingan dengan tanaman makanan. Oleh itu, ia adalah mampan, mengikut Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) Kesatuan Eropah," katanya.

 

Cita-cita Volvo Cars ialah untuk mengurangkan jejak karbon kitaran hayat setiap kereta sehingga 40 peratus antara 2018 dan 2025. Hal ini memerlukan pengurangan sebanyak 25% dalam pelepasan operasi, termasuklah logistik. 

 

Volvo Cars juga menyasarkan untuk mencapai pembuatan neutral iklim menjelang 2025. Kedua-dua pencapaian ini merupakan langkah penting dalam mencapai cita-cita neutral iklim Volvo Cars. - DagangNews.com