Penggunaan kapal Keyfield dijangka kekal kukuh dalam suku ketiga 2024 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Penggunaan kapal Keyfield dijangka kekal kukuh dalam suku ketiga 2024 - Kenanga Research

Gambar sebuah kapal milik Keyfield International Berhad
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Penggunaan kapal-kapal firma perkidmatan industri minyak dan gas, Keyfield International Berhad dijangka kekal kukuh sehingga memasuki suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), kata Kenanga Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Keyfield kini berada dalam musim kemuncak pasaran kapal luar pesisir (OSV) yang biasa berlaku pada suku kedua dan ketiga. 

 

"Kumpulan telah menerima kapal Keyfield Itqan (sebelumnya dikenali sebagai Belait Barakah), sebuah baraj penginapan untuk 239 orang, pada 3 Julai 2024, dan kapal tersebut kini sedang dipersiapkan untuk penempatan. 

 

"Keyfield Aulia (sebuah kapal AHTS terpakai) juga telah ditambah ke dalam kapal syarikat selepas diterima pada 13 Ogos 2024. Kapal-kapal ini dijangka menyumbang pendapatan mulai 4QFY24, yang akan memacu pertumbuhan pendapatan. 

 

"Secara keseluruhan, kami kekalkan pandangan bahawa DCR (kadar sewa harian) akan terus meningkat dalam pasaran OSV tempatan, memandangkan bekalan kekal ketat manakala permintaan pelanggan terus meningkat," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keyfield terima kontrak RM34.6 juta bekal bot kerja penginapan kepada Vestigo

 

Sementara itu, kata Kenanga Research, kontrak daripada Vestigo bernilai RM34.6 juta untuk penyediaan satu unit bot kerja penginapan (AWB) yang bermula pada Ogos 2024 adalah satu lagi kemenangan yang kukuh kepada Keyfield.

 

"Ini memandangkan kontrak tetap ini menunjukkan DCR yang sangat menarik sekitar RM200,000 (setelah mengecualikan perkhidmatan katering, yang lebih tinggi daripada andaian purata kami untuk AWB sebanyak RM138,000 - yang juga termasuk kapal bukan DP2 yang biasanya mempunyai DCR lebih rendah). 

 

"Walau bagaimanapun, kami menganggap kejayaan ini dalam jangkaan kerana kadar purata yang kami andaikan telah dipengaruhi oleh kontrak jangka panjang untuk kapal AWB yang lain yang terikat dengan kadar lebih rendah sejak permulaan FY24," ujarnya.

 

Kenanga Research juga menekalkan saranan 'Outperform' Keyfield dengan harga sasaran (TP) RM3.18 sesaham, yang sedikit premium berbanding gandaan median OSV sebanyak 10.2x disebabkan oleh kapal-kapal yang lebih muda dan spesifikasi yang lebih tinggi.

 

"Kami menyukai Keyfield kerana pendedahannya kepada industri OSV tempatan yang berkembang pesat, usia kapalnya yang relatif muda iaitu lapan tahun dan kapal-kapal bertaraf DP2 yang disukai oleh pelanggan.

 

"Faktor lain, penyertaannya sebagai kontraktor panel untuk kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) bagi Petronas yang boleh membuka peluang untuk lebih banyak penyewaan AHTS pihak ketiga," jelasnya. - DagangNews.com