KUALA LUMPUR 14 Mac - Penggunaan teknologi baharu yang betul dan bertanggungjawab akan membantu mengubah landskap kewangan Islam agar menjadi lebih lestari pada masa akan datang.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, institusi kewangan Islam perlu menggalakkan projek secara kolaborasi selain menggunakan lebih banyak teknologi baharu dalam usaha mempromosikan keterangkuman dan kestabilan, serta potensinya untuk mengembangkan pelaburan.
“Sistem kewangan Islam mempunyai ekosistem yang kukuh serta rangkaian kerja yang boleh dipercayai merupakan kunci dalam meningkatkan keberkesanan bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan adalah sangat berharga," katanya pada Persidangan Kewangan Islam Antarabangsa yang bertemakan Merapatkan Jurang: Memanfaatkan Kewangan Islam untuk Mempercepatkan Pencapaian SDG, baru-baru ini.
Persidangan yang diaadakan pada 24-25 Februari 2022 itu merupakan anjuran bersama Program Pembangunan PBB (UNDP), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Institut Kewangan Islam Profesional Bertauliah (CIIF) dan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB).
Hampir 300 peserta menyertai persidangan itu dengan topik yang dibincangkan termasuk impak kewangan Islam dan potensinya dalam mempromosikan pembangunan mapan selain Kewangan Sosial Islam sebagai dana impak pembangunan, penggunaan FinTech Islam untuk memperolehi lebih banyak faedah sosial.
Pengerusi Majlis Penasihat Syariah BNM dan SC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, antara cabaran yang bakal dihadapi dalam menggabungkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke dalam kewangan Islam adalah kurangnya pengetahuan terhadap SDG itu sendiri.
Beliau berkata, sebagai contoh, perancangan pentadbiran kerajaan, pendidikan dan sektor kewangan serta kekurangan dari segi ketersediaan untuk melihat pertindihan yang ada di antara Maqasid Al-shariah (objektif bagi Shari’ah) dan niat disebalik setiap SDG.
"Ini merupakan masa sesuai untuk kita semua meningkatkan kesedaran, perbincangan, musyawarah untuk memastikan ESG (amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir) dan SDG diterapkan ke dalam kewangan Islam secara semula jadi.
"Ini boleh menghasilkan produk terbaik di dunia, di mana produk ini telah melalui dua standard pematuhan - standard pematuhan syariah dan standard pelaburan berimpak," katanya.
Pada tahun 2016, UNDP bersama IsDB melancarkan Platform Kewangan Islam Global dan Pelaburan Impak bagi mengukuhkan sistem kewangan Islam sebagai peneraju utama dalam pelaksanaan SDG.
Menerusi platform itu, mereka melancarkan Inisiatif Sukuk Hijau pada 2018 dengan kerjasama SC dan IsDB untuk tujuan pembangunan sektor swasta. - DagangNews.com