Pengukuhan nilai ringgit beri kesan negatif kepada hasil eksport Kawan Food | DagangNews Skip to main content

Pengukuhan nilai ringgit beri kesan negatif kepada hasil eksport Kawan Food

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pengukuhan nilai ringgit dijangka memberi kesan negatif terhadap hasil eksport Kawan Food Bhd, kata Public Investment Bank Research (PublivInvest).

 

Bagaimanapun, mereka percaya kesan itu dapat diimbangi sebahagiannya daripada potensi penjimatan kos daripada harga bahan mentah yang lebih rendah.

 

"Kami positif terhadap prospek kumpulan itu kerana menjangkakan permintaan makanan sejuk beku kekal kukuh berikutan jualan domestik dan eksport yang lebih kukuh.

 

 

"Peningkatan kos sara hidup bagaimanapun dilihat memberi kesan positif kepada Kawan Food kerana pengguna mungkin memilih untuk makan di rumah memandangkan ia adalah pilihan yang lebih berpatutan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil 2QFY24 meningkat 5.4% kepada RM71.1 juta, berikutan peningkatan jualan daripada pasaran eksport.

 

Hasil daripada pasaran Malaysia susut sebanyak 21.5% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM31.6 juta hasil daripada permintaan domestik yang lebih lemah, berbeza dengan permintaan yang lebih tinggi yang diperhatikan pada 1QFY24 disebabkan musim perayaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan eksport bertambah baik pada 2QFY24, terutamanya didorong oleh jualan yang lebih besar daripada pasaran Eropah dan Amerika Utara.

 

Katanya, bagaimanapun, ia sebahagiannya dinafikan oleh permintaan yang lebih lemah daripada pasaran China.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM2.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com