KUALA LUMPUR 12 April - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap pemulihan pasaran tenaga kerja walaupun sektor itu mula menunjukkan pemulihan mampan didorong peningkatan aktiviti ekonomi domestik.
Firma itu berkata, keadaan itu juga disokong peningkatan secara beransur-ansur dalam sektor berkaitan pelancongan.
Katanya, ia berkemungkinan disebabkan oleh prospek kelembapan ekonomi global yang sebahagian besarnya boleh menjejaskan industri berkaitan eksport.
"Bagaimanapun, kami percaya pelbagai sokongan dasar digunakan untuk mengurangkan lagi kadar pengangguran.
"Langkah itu termasuk pembukaan 19,000 kekosongan jawatan guru, 1,500 pelantikan baharu untuk sektor penjagaan kesihatan dan 50,000 peluang penempatan pekerjaan melalui inisiatif MySTEP," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kadar pengangguran Malaysia pada Februari tahun ini menurun kepada 3.5% dengan 591,900 orang penganggur, menurun 0.1% berbanding 3.6% dengan 596,100 penganggur pada Januari.
Jumlah tenaga kerja pada Februari 2023 berada pada trend menaik, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% kepada 16.78 juta orang (Januari 2023: 16.76 juta orang), merekodkan kadar penyertaan tenaga kerja pada 69.9% (Januari 2023: 69.8%).
Pada masa sama, firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7% berbanding 8.7% pada tahun lalu.
"Kami menjangkakan permintaan domestik kekal berdaya tahan dengan peningkatan dalam pendapatan isi rumah yang disokong pemulihan dalam sektor pelancongan selain peningkatan pelaburan langsung asing.
"Selain itu pelaksanaan projek kerajaan di bawah Bajet 2023 yang akan disemak semula," katanya. - DagangNews.com