Peningkatan harga baja, kekurangan tenaga pekerja terus beri tekanan kepada Hap Seng Plantations | DagangNews Skip to main content

Peningkatan harga baja, kekurangan tenaga pekerja terus beri tekanan kepada Hap Seng Plantations

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Peningkatan harga baja dan kekurangan tenaga pekerja akan terus memberi tekanan kepada operasi Hap Seng Plantations.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan harga baja akan kekal tinggi dalam tempoh terdekat didorong oleh gangguan rantaian bekalan yang berterusan terutama dari Belarus dan Rusia.

 

Katanya, sebelum ini berlakunya pelarasan harga ekoran berlakunya perubahan caj pengangkutan laut.

 

"Pihak pengurusan kumpulan menjelaskan bahawa mereka berhadapan kekurangan tenaga kerja sebanyak 5% hingga 6% (dengan kekurangan itu untuk kerja-kerja di lapangan).

 

"Sehingga kini kumpulan itu masih menunggu kelulusan bagi permohonan pekerja asing mereka," katanya dalams atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) melonjak sebanyak 41.08% kepada RM66.9 juta berbanding RM47.42 juta tahun lalu disokong oleh harga purata jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit, walaupun jualan lebih rendah.

 

Hasil kumpulan juga berkembang sebanyak 36.33% kepada RM246.86 juta berbanding RM181.07 juta.

 

Firma itu menyemak turun unjuran untung bersih teras kumpulan bagi FY22 sebanyak 2.9% kepada RM246.9 juta terutama selepas mengambil kira pengurangan 2.1% buah tandan segar (BTS) kepada 597,000 tan berbanding 610,000 tan sebelumnya.

 

"Unjuran itu dibuat berdasakan andaian harga MSM sebanyak RM5,500/RM4,500/RM3,800 dan andaian pertumbuhan keluaran BTS sebanyak 0.6%, 2.2%, dan 3.3%," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan pegang dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.40. - DagangNews.com