Peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dijangka pacu hasil Pentamaster bagi FY23, kata Mecury Securities | DagangNews Skip to main content

Peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dijangka pacu hasil Pentamaster bagi FY23, kata Mecury Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Mercury Securities menjangkakan Pentamaster Corporation Berhad akan terus menerima manfaat daripada perubahan struktur yang dipengaruhi peningkatan penggunaan kenderaan elektrik.

 

Firma itu berkata, segmen automotif dan perubatan akan menjadi pemacu utama kepada hasil kumpulan bagi FY23 mengimbangi sumbangan yang lebih rendah daripada segmen elektro-optik disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih kecil pada peralatan ujian untuk penderia yang timbul daripada kekurangan peningkatan utama dalam industri telefon pintar.

 

"Segmen automotif menyumbang 54.5% kepada jumlah pendapatannya untuk suku pertama 2023 disokong oleh elektrifikasi automotif global dengan industri automotif terus menguasai segmen ATE dengan sumbangan pendapatannya.

 

"Kira-kira 79.1% disumbangkan pada suku pertama tahun ini yang mewakili pertumbuhan sebanyak 71.8% dalam segmen ATE," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Pentamaster Corporation berhad meningkat 4% kepada RM33.7 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM32.4 juta pada suku sama tahun sebelum ini.

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sejumlah 13.2% atau RM165.3 juta bagi suku berkenaan berbanding RM146 juta yang dicatatkan tiga bulan pertama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan itu disumbangkan oleh segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan penyelesaian automatik kilang (FAS) yang membentuk kira-kira 67.3% dan 32.7% daripada keseluruhan pada suku pertama.

 

"Kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk peningkatan harga bahan mentah dan kekurangan pekerja mahir yang dilihat akan menjejaskan operasi mereka," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.48 sesaham. - DagangNews.com