Peningkatan penggunaan kilang di Chengdu, hasil Unisem diunjur berkembang sehingga 10% pada 3QFY24 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan penggunaan kilang di Chengdu, hasil Unisem diunjur berkembang sehingga 10% pada 3QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Unisem (M) Bhd diunjur mencatatkan pertumbuhan hasil sehingga 10% pada 3QFY24 didorong peningkatan penggunaan kilang di Chengdu, China berdasarkan pertambahan permintaan daripada pelanggan automotif utama Amerika Syarikat (AS) dan pelanggan mikroelektromekanikal (MEMS) dari Eropah.

 

Kenanga Research berkata, keadaan itu seharusnya meningkatkan kadar penggunaan kilangnya kepada antara 80% hingga 85% berbanding 75% sebelum ini.

 

Katanya, keadaan itu menjelaskan kepada pertambahan bilangan tenaga kerja.

 

"Bagaimanapun, perkara sama dijangka tidak berlaku kepada kilangnya di Ipoh kerana kadar penggunaannya kekal lemah dan hanya terdapat peningkatan kecil sekitar 5% daripada pelanggan frekuensi radio sub-6GHz yang digunakan dalam telefon pintar Korea dan cip penghantaran RF berkuasa tinggi berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi pelanggan AS," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Unisem pada 2QFY24 susut 29% kepada RM16.8 juta kesan kos operasi tinggi

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil 1HFY24 meningkat 3.6% lebih tinggi, didorong oleh pesanan berdaya tahan daripada kilangnya di Chengdu yang beroperasi pada kadar penggunaan sekitar 75%.

 

Keadaan itu katanya, diterajui oleh jumlah pemuatan yang positif daripada pelanggan automotif utamanya, yang menyumbang 35% daripada hasil Chengdu dan 20% daripada hasil kumpulan.

 

"Bagaimanapun untung kumpulan itu merosot sebanyak 25% lebih ketara disebabkan oleh kos bahan, utiliti dan kakitangan yang lebih tinggi (dengan jumlah kakitangan yang meningkat kira-kira 6,300, berbanding sekitar 5,700 pada 1HFY23)," katanya.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana kehadirannya dalam perniagaan modul kuasa selain menjadi penerima manfaat daripada inisiatif China+1 dan kunci kira-kira yang kukuh untuk menyokong rancangan pengembangannya.

 

Bagaimanapun, asasnya telah dinilai sepenuhnya oleh harga saham semasa.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM3.70 sesaham," katanya.- DagangNews.com