Peningkatan tempahan daripada pelanggan utama, RHB Investment ramal hasil Coraza meningkat pada separuh kedua 2024 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan tempahan daripada pelanggan utama, RHB Investment ramal hasil Coraza meningkat pada separuh kedua 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - RHB Investment meramalkan hasil Coraza Integrated Technology Bhd bertambah baik pada separuh kedua 2024 selepas kumpulan itu mencatatkan peningkatan tempahan daripada pelanggan utama pada separuh pertama tahun ini.

 

Katanya, Industri Pengilang Peralatan Semikonduktor (SEMI) menjangkakan pemulihan jualan dalam segmen hadapan FY24 (+54%), ujian (+7.4%) dan peralatan pemasangan dan pembungkusan (+10%) dengan semua subsegmen ditetapkan untuk berkembang lagi pada 2025.

 

"Sebagai pembekal utama kepada pembuat peralatan dan pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), Coraza berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada kebangkitan semula dalam permintaan semikonduktor, terutamanya dengan kilang yang baru diambil alih itu sedang menjalani pengubahsuaian.

 

"Selain itu, peningkatan volum pesanan daripada pelanggan sedia ada dan baharu akan terus meningkatkan margin melalui kelebihan operasi dan skala ekonomi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil 1HFY24 kumpulan itu susut 15.7% kepada RM41.5 juta disebabkan kemelesetan kitaran dalam pasaran semikonduktor yang membawa kepada penangguhan pesanan daripada pelanggan.

 

Bagaimanapun, hasil pada dari suku tahun ke suku tahun pada 2QFY24 melonjak 10.2% disebabkan pemulihan beransur-ansur dalam industri semikonduktor, kerugian teras kumpulan itu bagi suku berkenaan mengecil kepada RM300,000 berbanding RM1.4 juta pada 1QFY24.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun ramalan pendapatan FY24 sebanyak 83% selepas mengambil kira hasil jualan dan andaian margin yang lemah serta pemulihan tidak sekata pada separuh pertama 2024.

 

Bagaimanapun, RHB Investment menjangkakan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua 2024, dengan pemulihan yang lebih bermakna dijangka pada FY25.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 62 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com