Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Aliran keluar modal asing kumulatif dalam ekuiti Malaysia mencecah paras tertinggi pada Julai 2020 dengan RM27.1 bilion sejak 2010.
Ekuiti Malaysia juga menyaksikan aliran keluar asing tertinggi di rantau pada tempoh sama dengan AS$0.6 bilion, mendahului Thailand (AS$0.3 bilion) yang sentiasa menduduki tangga teratas sejak Disember 2019.
Maybank Investment Research Berhad (Maybank IB) berkata, daripada 22 hari perdagangan sepanjang bulan Julai, ramai pelabur asing menjual dana mereka pada hari ke-19.
“Ini menjadikan penjualan bersih kumulatif mereka bagi tujuh bulan pertama 2020 mencatatkan RM19 bilion berbanding tahun lalu, RM11 bilion.
“Pemegangan asing dalam ekuiti Malaysia telah merosot daripada 21.4% pada akhir Jun 2020, menghampiri paras pada tahun 2009/2010 (lebih sedikit daripada 20%),” kata Maybank IB.
Sejak penghujung 2019, pemegangan saham asing jatuh kecuali sektor sarung tangan.
Antaranya, Bermaz (-4.9ppts), CIMB (-5ppts), Public Bank (-4.2ppts), BAT (-15.9ppts), GENT (- 4.5ppts), GENT (-5.9ppts), Media Prima (-6.1ppts), Bumi Armada (- 7.5ppts), AirAsia (-11.5ppts) dan MAHB (-5.3ppts).
Dalam pasaran bon, Jun lalu mencatatkan aliran masuk pelabur asing tertinggi sejak Mei dengan RM11.6 bilion.
Angka itu sekali gus menurunkan aliran keluar bersih pada Januari sehingga Jun 2020 kepada RM5.8 bilion.
“Aliran keluar dalam ekuiti dan bon mencatatkan jumlah RM22.2 bilion pada separuh pertama 2020 berbanding RM8.9 bilion pada 2019,” tambah Maybank IB. - DagangNews.com