KUALA LUMPUR 4 Sept - Penjualan perniagaan kapal sokongan luar pesisir (OSV) Yinson Holdings Bhd kepada Icon Offshore Bhd pada harga RM160 juta dijangka membolehkan kumpulan itu fokus kepada penyediaan kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO).
RHB Investment berkata, langkah itu juga membolehkan Yinson mengekalkan pendedahan kepada pasaran OSV.
Firma penyelidikan itu 'neutral' terhadap urus niaga itu yang akan diselesaikan menerusi terbitan 181.8 juta saham baharu dengan harga 88 sen.
“Perjanjian itu membolehkan Yinson memperkemas perniagaannya sambil mengekalkan pendedahan dalam pasaran OSV sebagai syarikat bersekutu.
"Pasaran OSV domestik diramal kekal kukuh disokong aktiviti huluan yang stabil dengan kadar sewa harian berada pada paras tinggi disebabkan kekurangan bekalan kapal," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, perjanjian itu melibatkan penjualan empat OSV, yang menyumbang lebih RM20 juta kepada tahun kewangan 2023 (FY23) dan FY24 kumpulan.
RHB Investment menjangkakan kerugian pendapatan daripada pelupusan itu akan diimbangi sebahagiannya dengan sumbangan daripada Icon sebagai syarikat bersekutu kumpulan itu.
Penilaian yang ditawarkan oleh Icon adalah pada premium melebihi penilaian RM145 hingga RM153 juta yang diberikan untuk empat kapal oleh penilai bebas.
Katanya, kapal-kapal tersebut mempunyai profil umur purata 13 tahun dan kini dalam kontrak sewa antara satu hingga tiga tahun.
Perjanjian OSV dijangka selesai pada suku keempat apabila ia akan dapat mengiktiraf keuntungan daripada penjualan RM40 juta dan memiliki 16.2% pegangan dalam Icon.
RHB Invetment mengekalkan saranan "beli" ke atas Yinson dengan harga sasaran perolehan jumlah bahagian RM3.32 sesaham. - DagangNews.com