KUALA LUMPUR 17 April - Pensonic Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM809,000 bagi suku ketiga berakhir 28 Feberuari 2023 berbanding untung bersih RM1.2 juta bagi suku sama tahun lalu.
Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM62.7 juta berbanding RM83.2 juta pada suku tahun sebelumnya.
Kumpulan itu mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM475,000 berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.7 juta pada suku tahun sebelumnya.
"Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM194.6 juta bagi tempoh sembilan bulan berbanding RM243.2 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Mereka mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.8 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM7.3 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Keuntungan yang lebih rendah dalam tempoh semasa adalah disebabkan oleh jualan yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu berkata, isu makroekonomi global daripada peningkatan inflasi kepada peningkatan kadar faedah dan peningkatan risiko kemelesetan terus melanda ekonomi domestik mengakibatkan keyakinan pengguna dan kuasa beli yang lebih lemah.
Kumpulan itu akan terus membangun dan memperhalusi strategi untuk memperkukuh pengedaran dan campuran produknya serta melaksanakan peningkatan kecekapan yang bertujuan untuk memacu pemulihan dan menambah baik keuntungan. - DagangNews.com