Penurunan perbelanjaan iklan kekal jadi cabaran kepada sektor media, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Penurunan perbelanjaan iklan kekal jadi cabaran kepada sektor media, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - RHB Investment meramalkan penurunan perbelanjaan iklan akan terus menjadi cabaran kepada sektor media.

 

Selain itu, katanya, prospek pertumbuhan sektor itu kekal mencabar disebabkan kebimbangan struktur, ketidaktentuan geopolitik dan halangan dasar domestik.

 

“Dengan harga prognosis pendapatan yang lemah, kami terus menyokong strategi dagangan taktikal yang memberi fokus kepada saham dengan aliran berita positif.

 

"Kami kekal 'neutral' terhadap sektor itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga saham-saham media di bawah liputannya menyusut kira-kira 13%, disebabkan pendapatan korporat yang lemah dan perbelanjaan pengiklanan yang perlahan.

 

"Pendapatan sektor teras agregat menjunam sebanyak 40%  dari suku tahun ke suku tahun (turun 45% tahun ke tahun) pada suku pertama 2024, dengan beberapa elemen bermusim memainkan peranan," katanya.

 

RHB Investment berkata, momentum pendapatan sektor yang lemah dijangka berterusan kesan daripada perbelanjaan pengguna yang ketat serta persekitaran luar yang mencabar seperti krisis geopolitik dan masalah makroekonomi.

 

"Pengoptimuman kos perlu menjadi matlamat utama kepada pemain media.

 

"Astro Malaysia Holdings Bhd sebelum ini mendedahkan pengurangan satu pertiga kos daripada rombakan sistem sokongan pelanggannya, dengan proses pendigitalan dijangka menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan mengurus tambahan (opex) dalam jangka panjang.

 

"Kami perhatikan ia juga mengalihkan perkhidmatan kepada awan, yang akan menyaksikan pengurangan kos berkaitan dengan mengekalkan sistem warisan.

 

"Astro juga dapat menjimatkan RM10 juta hingga RM15 juta setiap suku dalam operasi opex, susut nilai dan kos faedah daripada penyahtauliahan enam transponder pada Measat-3a, yang mencapai penghujung hayatnya pada Julai," katanya. - DagangNews.com