KUALA LUMPUR 31 Julai - Pelaksanaan langkah mitigasi impak kenaikan harga menerusi penyasaran subsidi diesel dan pemberian bantuan tunai, dijangka tidak memberi kesan ketara ke atas inflasi dan pertumbuhan ekonomi, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Berikutan itu, kementerian mengekalkan unjuran rasmi inflasi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi 2024 kekal masing-masing pada 2.0-3.5 peratus dan 4.0-5.0 peratus.
Langkah penyasaran semula itu juga, katanya, sejajar pendirian kerajaan meneruskan bantuan subsidi kepada golongan memerlukan, khususnya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana selain mengurangkan ketirisan kepada golongan tidak sepatutnya seperti warga asing, syarikat swasta besar dan individu berpendapatan tinggi.
MOF berkata langkah itu penting memandang kerajaan membelanjakan lebih RM80 bilion bagi membiayai keseluruhan subsidi, insentif dan bantuan sosial pada 2023.
“Perbelanjaan subsidi kepenggunaan adalah terbesar sebanyak RM50 bilion merangkumi subsidi petrol, diesel dan gas memasak, subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik serta subsidi harga ayam dan telur ayam.
“Perbelanjaan subsidi, insentif dan bantuan sosial yang semakin meningkat ini telah mencetuskan risiko negatif kepada kemampanan fiskal jangka panjang negara dan boleh menyebabkan peruntukan sektor lebih penting seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan terpaksa dikurangkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri S. Vell Paari mengenai masalah yang mungkin dihadapi daripada pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api atau diesel serta cara mengatasinya agar tidak membebankan rakyat.
Menjelaskan selanjutnya, MOF berkata di bawah penyasaran semula subsidi diesel, bantuan tunai kepada pemilik kenderaan hanya melibatkan 300,000 individu.
Bantuan berdasarkan satu kadar iaitu RM200 ringgit sebulan itu dianggarkan mencukupi untuk pemilik kenderaan diesel individu yang kebanyakannya menggunakan kenderaan jenis pikap.
“Sebaliknya, pengguna RON95 adalah jauh lebih besar dan termasuk pemilik motosikal dan pemilik kereta selain pemandu ehailing. Oleh itu, jika bantuan tunai digunakan sebagai pendekatan RON95, ianya mungkin berbeza daripada diesel," katanya. - DagangNews.com