Penyatuan pengurusan MyNews dan CU beri kuasa penawaran lebih baik, RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Penyatuan pengurusan MyNews dan CU beri kuasa penawaran lebih baik, RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - RHB Investment menjangkakan kerugian CU terus menguncup dan mula pulang modal pada penghujung FY24, hasil penyatuan pengurusan CU dan MyNews yang menghasilkan kuasa penawaran yang lebih kukuh serta produk yang lebih baik.

 

Katanya, ia seharusnya mendorong keuntungan kumpulan ke tahap pra pandemik.

 

"MyNews telah menunjukkan konsistensi dan penyampaian pendapatan yang kukuh, dan kami percaya tumpuan untuk mengembangkan jenama ini akan menjadi pemacu utama untuk keuntungan yang mampan bergerak ke hadapan.

 

"Kadar penggunaan pusat pemprosesan makanan (FPC) dijangka bertambah baik berbanding paras pulang modal semasa berikutan jumlah jualan yang lebih kukuh daripada pengembangan dengan 100 kedai baharu (70% Mynews, 30% CU) pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM1.73 juta bagi suku kedua berakhir 30 April 2024 berbanding kerugian bersih RM6.28 juta pada tahun sebelumnya.

 

Ia adalah keuntungan suku ketiga berturut-turut kumpulan itu, selepas kerugian suku tahun sebelumnya pada suku ketiga tahun kewangan 2023.

 

Perolehan 2QFY24 disokong oleh peningkatan 10.66% hasil kepada RM192.77 juta daripada RM174.2 juta, didorong oleh jualan dalam kedai yang bertambah baik, manakala margin keuntungan kasar bertambah baik daripada 34.3% kepada 37.9%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, margin untung kasar 1HFY24 kumpulan itu berkembang sebanyak 3.3ppts kepada 37.4%, didorong oleh kawalan pembaziran yang lebih baik dan peningkatan kuasa penawaran dengan pembekal berikutan penyatuan pengurusan Mynews dan CU.

 

Sementara itu, kerugian FPC bagi 1HFY24 mengecil kepada RM1.6 juta daripada RM5 juta. Jualan suku tahun ke suku tahun, 2QFY24 merosot sedikit sebanyak 1.4% kepada RM192.8 juta disebabkan operasi yang lebih pendek pada bulan Ramadan dan bulan Februari.

 

"Bagaimanapun, pendapatan teras 2QFY24 melonjak 46.2% suku tahun ke suku tahun kepada RM2.6 juta, didorong oleh pengembangan margin untung kasar yang dinyatakan," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 81 sen sesaham. - DagangNews.com