Penyenaraian Ant Group, Khazanah dijangka dapat 'durian runtuh' | DagangNews Skip to main content

Penyenaraian Ant Group, Khazanah dijangka dapat 'durian runtuh'

 

 

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Ant Group Co. Ltd., yang turut dimiliki hartawan Jack Ma bukan sahaja melonjakkan nilai kekayaan ahli perniagaan itu malah syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd. turut menikmati durian runtuh menerusi penyenaraiannya, 5 November ini. 

Berdasarkan laporan Wall Street Journal (WSJ) bertarikh 29 Oktober lalu yang memetik laporan prospektus Ant, Khazanah dan juga dana pelaburan Singapura, Temasek Holdings Private Ltd., Canada Pension Plan Investment Board dan firma ekuiti persendirian Silver Lake, Warburg Pincus, Carlyle Group dan General Atlantic merupakan antara pelabur asing terbesar dengan pelaburan kira-kira AS$500 pada 2018. 

"Pengurus dana bersama, T Rowe Price Group Inc, BlackRock Inc dan Fidelity Investments juga berada dalam senarai tersebut dengan pelaburan antara AS$200 hingga AS$500 juta. 

"Malah, Khazanah melabur kira-kira AS$650 juta dan Temasek pula AS$500 juta menerusi dana atau entiti yang dikawal atau diuruskan," jelas laporan WSJ.  

Pada 2018, syarikat gergasi teknologi kewangan itu mengumpul sehingga AS$10.3 bilion daripada para pelabur di luar China termasuk individu kaya dan dana persendirian termasuk institusi yang lebih besar. 

Ia merupakan pengumpulan modal persendirian kali ketiga Ant dan syarikat itu hanya menjual sahamnya kepada pelabur asing sebelum tawaran awam permulaan (IPO). 

Ini menarik banyak pelabur terkenal pada tahun itu termasuk bilionair Hong Kong dan taikun, Li Ka-shing, anak kepada Tung Chee-hwa, ketua eksekutif Hong Kong dari 1997 hingga 2005 dan juga anak kepada taikun di Taiwan, Samuel Yin. Kesemuanya melabur menerusi enjin pelaburan persendirian. 

Menurut WSJ, lebih daripada 40 pelabur asing Ant, dijangka meraih dua kali ganda dalam nilai saham apabila syarikat itu disenaraikan.

Ia menyaksikan jualan saham Ant bernilai AS$313 bilion sebelum pembukaan dagangan, lebih dua kali ganda berbanding AS$150 bilion yang diraih semasa pengumpulan dana pada 2018. 

Berdasarkan kiraan WSJ, pada harga IPO itu, pelabur akan menikmati keuntungan sehingga 84%. 

Malah, sebuah penerbitan perniagaan menyifatkan nilai pasaran Ant akan melonjak selepas penyenaraian syarikat tersebut. 

Menurut tinjauan baru-baru ini melibatkan 94 pelabur yang dijalankan Sanford C Bernstein mendapati Ant bernilai antara AS$300 hingga AS%375 bilion dan harga kepada pendapatan (PE) adalah setanding syarikat teknologi berbanding firma perkhidmatan kewangan. - DagangNews.com