Perak Transit dapat persetujuan MOF untuk elaun cukai pelaburan dalam projek Bidor Sentral | DagangNews Skip to main content

Perak Transit dapat persetujuan MOF untuk elaun cukai pelaburan dalam projek Bidor Sentral

Perak Transit merupakan pengendali pengangkutan awam utama di Perak.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 11 Okt - Perak Transit Berhad telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk elaun cukai pelaburan (ITA) ke atas perbelanjaan modal yang layak berhubung pembangunan terminal pengangkutan awam bersepadu di Bidor, Perak.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, The Combined Bus Services Sdn Bhd (TCBS) menerima kelulusan daripada MOF pada Selasa.

 

TCBS telah diberikan 50% ITA ke atas perbelanjaan modal yang layak, yang boleh digunakan sebagai potongan terhadap 50% daripada pendapatan berkanun untuk tahun taksiran berkenaan dengan aktiviti terminal bas sahaja.

 

Bagaimana pun, insentif itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, kata Perak Transit dengan perbelanjaan modal perlu dibuat secara eksklusif untuk pembangunan Terminal Bidor Sentral (tidak termasuk kos pengambilan tanah).

 

Bas

 

Selain itu, TCBS mesti melabur sekurang-kurangnya RM130 juta dalam aset tetap (tidak termasuk tanah) untuk pembangunan Terminal Bidor Sentral dalam tempoh lima tahun, bermula 28 April 2021 hingga 27 April 2026.

 

Syarat lain termasuk pemasangan panel solar di Terminal Bidor Sentral untuk menjana tenaga 250,000 kWj dan pemerolehan sekurang-kurangnya 15 bas elektrik oleh TCBS menjelang 27 April 2026.

 

Saham Perak Transit ditutup RM1.23 pada hari Selasa dengan permodalan pasaran RM912.62 juta. 

 

Sepanjang tahun lalu, kaunter telah meningkat sebanyak 38.2%. - DagangNews.com