Perbelanjaan pengguna diunjur kekal berdaya tahan disokong pasaran tenaga kerja lebih baik | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan pengguna diunjur kekal berdaya tahan disokong pasaran tenaga kerja lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - Perbelanjaan pengguna diunjur kekal berdaya tahan pada 2024 di sokong oleh pasaran tenaga kerja yang bertambah baik dan keadaan inflasi yang terurus.

 

TA Securities berkata, walaupun nilai ringgit lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) namun kesannya terhadap perbelanjaan pengguna di Malaysia berkemungkinan kecil.

 

"Kami melihat bahawa risiko kepada corak perbelanjaan pengguna kekal minimum, walaupun susut nilai semasa ringgit berbanding dolar AS," katanya.

 

Katanya, pengguna berkemungkinan bertindak balas terhadap harga barangan import yang lebih tinggi, hasil daripada ringgit yang lebih lemah, dengan menyesuaikan tabiat penggunaan mereka seperti beralih kepada barangan serta perkhidmatan domestik.

 

"Pada tahun semasa, perbelanjaan pengguna bersedia untuk mengekalkan daya tahannya, disokong oleh beberapa faktor utama," kata katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu menegaskan bahawa peningkatan berterusan dalam tenaga kerja merupakan penyumbang penting, dengan jangkaan kadar pengangguran purata 3.2% pada 2024, turun sedikit daripada 3.4% pada tahun sebelumnya.

 

consumer

 

"Arah aliran positif ini diperkukuh pertumbuhan yang dijangka dalam pekerjaan, mengukuhkan lagi asas untuk keyakinan pengguna yang teguh," katanya.

 

Selain itu katanya, tekanan inflasi yang boleh dikawal, seperti yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan pada 2.1% hingga 3.6%, akan menambah satu lagi kestabilan kepada landskap ekonomi, kata TA Securities.

 

Data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa indeks perdagangan pengedaran (DTI) Malaysia pada Januari 2024 meningkat 3.5% berbanding pertumbuhan 3.4% tahun-tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, momentum positif itu adalah seiring kebangkitan berterusan dalam aktiviti ekonomi, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang bertambah baik dan tekanan inflasi yang boleh dikawal sepanjang bulan.

 

consumer

 

Peningkatan itu didorong oleh keuntungan merentasi semua segmen utama termasuk perdagangan runcit (1.4%), kenderaan bermotor (12.1%) dan perdagangan borong (4%).

 

Sementara itu, Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan jualan keseluruhan akan meningkat pada 2024, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dalam keadaan kadar pengangguran yang stabil dan lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran peningkatan 8% dalam DTI pada tahun ini, meningkat daripada 7.7% pada 2023.

 

"Prospek positif ini diperkukuh oleh peningkatan berterusan dalam ketibaan dan perbelanjaan pelancong. 

 

"Bagaimanapun, risiko kepada unjuran kami termasuk kesan rasionalisasi subsidi, yang berpotensi melembapkan perbelanjaan pengguna dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan jualan,” katanya. - DagangNews.com