Perbelanjaan V.S Industry untuk pengambilan pekerja asing dijangka meningkat RM10 juta pada FY22 | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan V.S Industry untuk pengambilan pekerja asing dijangka meningkat RM10 juta pada FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jun - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan V.S Industry Berhad berdepan peningkatan perbelanjaan pengambilan tenaga kerja asing sebanyak RM10 juta pada FY22 dan tambahan RM5 juta pada 1QFY23.

 

Firma itu berkata, kehadiran semua tenaga kerja adalah perlahan meskipun tida lagi sekatan perjalanan rentas sempadan. 

 

Katanya, kumpulan itu bagaimanapun sudah membawa masuk lebih 1,100 pekerja daripada Myanmar sejak hujung Mei 2022 dan mereka menyasarkan untuk mengambil tambahan 2,300 lagi tenaga kerja yang akan menyertai mereka secara berperingkat menjelang Ogos 2022.

 

"Walaupun kami berpendapat bahawa keputusan 3QFY22 akan terus lemah disebabkan kelewatan dalam pengambilan tenaga kerja namun menjangkakan pengeluaran mereka akan meningkat pada 4QFY22 berdasarkan penambah baikan situasi tenaga kerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, hostel baharu yang siap pada bulan ini mampu menempatkan tambahan 1,800 pekerja.

 

Katanya, hostel baharu itu siap tepat pada masanya dan membolehkan kumpulan mendapatkan tenaga kerja tambahan tanpa perlu rasa bimbang mengenai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terutama dari segi keselesaan pekerja.

 

"Sebagai tambahan, kami menjangkakan kemas kini selanjutnya mengenai semakan bebas terhadap amalan buruh yang dijalankan oleh PwC Consulting akan siap pada hujung Jun 2022," katanya.

 

Sementara itu, firma itu positif terhadap prospek masa hadapan kumpulan berdasarkan kepada keupayaan mereka menawarkan penyelesaian perkhidmatan pembuatan elektronik sebagai pemain bersepadu. 

 

Kumpulan itu juga berupaya menambah baik operasi luar negara disokong oleh pesanan jualan yang lebih tinggi daripada segmen Indonesia serta inisiatif rasionalisasi kos yang lebih baik di China selain komitmen berterusan dalam standard ESG.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM1.27. - DagangNews.com