Perdana Menteri digesa lakukan perubahan menyeluruh terhadap pengurusan kanan Bank Negara - SPCAAM | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri digesa lakukan perubahan menyeluruh terhadap pengurusan kanan Bank Negara - SPCAAM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 April - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa Perdana Menteri membuat perubahan menyeluruh terhadap pengurusan kanan Bank Negara bagi membuktikan komitmennya untuk memerangi rasuah sistemik.

 

SPCAAM mendakwa kepercayaan orang ramai terhadap Bank Negara telah terhakis selepas berita mengenai sindiket penipuan antarabangsa menyusup masuk ke lima institusi kewangan tempatan utama dengan hanya siasatan tertumpu kepada pekerja tertentu yang disyaki terlibat.

 

"Tidak meletakkan lima bank di bawah siasatan adalah ketidakcekapan jelas di pihak BNM, dan mencerminkan rasuah sistemik dan kekurangan tadbir urus yang betul di negara ini," kata Callistus Antony D'Angelus, penasihat buruh antarabangsa kepada SPCAAM dalam satu kenyataan. 

 

Beliau merujuk kepada laporan berita yang memetik Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata lima bank tempatan itu tidak disiasat.

 

"BNM sudah terlalu lama tidur dalam perjalanan fungsinya. Sudah tiba masa bagi Perdana Menteri melantik pemimpin dan teknokrat untuk menerajui BNM, yang akan bertindak seiring dengan agenda reformasi beliau dan tidak menghalang usaha-usaha yang sedang diambilnya," kata beliau.

parafrasa

Menurutnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selepas berdekad-dekad pentadbiran rasuah menerajui negara, mengetuai serangan terhadap amalan rasuah dan tadbir urus yang lemah. Beliau mesti campur tangan dan mentransformasi pengurusan BNM.

 

D'Angelus berkata, untuk mengehadkan siasatan ke atas hanya pekerja-pekerja yang terlibat seumpama tindakan menangani gejala dan mengabaikan punca.

 

Punca sindiket penipuan antarabangsa boleh menembusi sistem adalah disebabkan oleh pematuhan yang tidak cekap, pengurusan risiko dan mekanisme kawalan bank terbabit. BNM harus memainkan peranan secara langsung bagi menyiasat bank, dan mendedahkan hasil siasatan kepada orang ramai.

 

"Akauntabiliti harus berada di peringkat tertinggi bank yang terlibat - di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif. Bank dan sistem kewangan secara keseluruhan adalah penjaga dana awam. Hubungan fidusiari adalah dengan rakyat Malaysia, dan ini tidak boleh dilupakan atau dipandang ringan.
 

Bank berfungsi sebagai asas kepada sistem ekonomi mana-mana negara. Krisis ekonomi Asia Timur pada akhir 1990-an, Krisis Kewangan Global 2008, dan baru-baru ini kegagalan Silicon Valley dan Signature Banks di Amerika Syarikat (AS) adalah contoh apabila krisis perbankan atau monetari membawa kepada krisis ekonomi.

 

"Sebenarnya, dalam krisis-krisis seperti ini yang rugi bukanlah bank, tetapi rakyat biasa," kata beliau. - DagangNews.com