Perdana Menteri gembira dengan sambutan terhadap Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri gembira dengan sambutan terhadap Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, hari ini.

BERA 12 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan perasaan gembira dengan sambutan penganjuran Karnival Kerjaya dan Jamin Kerja Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera yang diadakan pada hari ini, apabila terdapat lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan daripada 15 majikan. 

 

Beliau berkata, selain menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan Keluarga Malaysia, karnival itu juga turut membuka peluang untuk anak muda Bera meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.

 

Katanya, bagi meningkatkan peluang pekerjaan khususnya bagi komuniti luar bandar, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama beberapa kementerian, agensi dan institusi turut memperkenalkan Pusat Satelit MYFutureJobs. 

 

"Sehingga kini, terdapat 150 Pusat Satelit di pelbagai lokasi seluruh negara dan sembilan daripadanya adalah di negeri Pahang.

 

"Rakyat di Pahang dan sekitarnya berpeluang mendapat akses kepada fasiliti Pusat Satelit ini bagi mendapatkan perkhidmatan pekerjaan termasuk akses kepada Portal MYFutureJobs. 

 

pm

 

"Antaranya ialah Pusat Komuniti Desa (PKD) Tembangau, PKD Janglau, Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Kampung Balok Pantai, Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Kampung Tempoyang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Bentong, Institut Pengajian Tinggi iaitu University College Yayasan Pahang (UCYP) dan Politeknik Muadzam Shah turut memainkan peranan sebagai Pusat Satelit MYFutureJobs

 

"Saya berharap para majikan memanfaatkan Program JaminKerja-Insentif Penggajian yang menawarkan insentif kewangan kepada majikan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu yang diambil bekerja.

 

 

 

"Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, impak positif daripada program JaminKerja-Insentif Penggajian yang dilaksanakan oleh Perkeso telah diteruskan dalam Bajet 2023. 

 

Beliau berkata, berdasarkan statistik Perkeso, sehingga 28 Oktober 2022 jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 65,774 orang pekerja dengan penglibatan 8,513 majikan. 

 

"Kajian Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia yang dilaksanakan oleh Ilham Centre baru-baru ini, mendapati 82.5% rakyat mahu program JaminKerja diteruskan di masa hadapan," katanya. - DagangNews.com