Perdana Menteri mengalu-alukan kehadiran pelabur Indonesia ke Malaysia | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri mengalu-alukan kehadiran pelabur Indonesia ke Malaysia

Ismail Sabri ditemani Jokowi, disambut dengan perbarisan kehormat sebaik tiba di Istana Bogor hari ini

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  mengalu-alukan kehadiran pelabur dari Indonesia untuk datang ke Malaysia pada masa masa akan datang.

 

Beliau berkata, Indonesia adalah rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia, membabitkan jumlah perdagangan dua hala berjumlah AS$15.67 bilion pada tahun lalu.

 

"Pada suku kedua tahun 2021, jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak AS$12.53 bilion dan pelaburan Indonesia di Malaysia AS$1.16 bilion (RM4.82 bilion).

 

"Saya mengalu-ngalukan pelabur daripada Indonesia untuk terus datang melabur di Malaysia," katanya pada sidang media bersama dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena lawatan rasmi Perdana Menteri selama tiga hari ke negara republik itu, lapor Berita Harian.

 

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia percaya pemindahan dan pembangunan ibu kota baharu Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah langkah yang tepat.

 

Beliau berkata, ia seperti yang pernah lakukan oleh Malaysia pada 25 tahun lalu dengan pemindahan pusat pentadbiran dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

 

"Malaysia bersedia berkongsi pengalaman berkaitan perkara itu manakala syarikat daripada Malaysia juga bersedia bekerjasama dan turut serta untuk membangunkan projek yang berskala mega berkenaan," katanya.

 

Lawatan sulung Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri itu juga menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia, iaitu "Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan" dan "Kerjasama dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Kastam".

 

Perdana Menteri berkata, pemeteraian kedua-dua MoU itu mencerminkan tahap hubungan baik yang lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

 

Selain itu, beliau berkata, lima MOU dan Perjanjian juga akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara, yang membabitkan nilai pelaburan yang memasuki Indonesia berjumlah AS$3.1 bilion (RM12.87 bilion).-DagangNews.com