Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan mangsa banjir untuk menjaga kesihatan masing-masing terutama dalam keadaan kecemasan seperti ketika ini.
“Dalam keadaan macam ini perlu jaga kesihatan, susah juga kalau tak sihat dan pastikan makan dengan cukup,” katanya ketika menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir, hari ini.
Beliau meluangkan masa selama kira-kira 20 minit bersama hampir 70 mangsa banjir daripada 17 keluarga, selain turut meninjau pusat operasi PPS berkenaan.
Sebelum itu Perdana Menteri sempat meluangkan masa melihat keadaan mangsa di PPS Kampung Tembun.
Beliau turut menzahirkan perasaan kagum dengan semangat kecekalan yang ditunjukkan oleh mangsa banjir dan berjanji akan menyegerakan segala bantuan.
"Pada saat ini kebajikan golongan uzur dan anak-anak kecil harus diutamakan.
"Tanggungjawab saya merentasi langkah-langkah yang dapat diambil bagai memikirkan musibah ini berlaku pada keluarga sendiri.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut memuji pihak pengurusan PPS di seluruh negara kerana menjaga kebersihan dengan baik dalam usaha untuk memberikan keselesaan kepada semua mangsa.
"Terima Kasih saya ucapkan, Saya sangat menghargai segala penat lelah dan kudrat semua yg terlibat," katanya. - DagangNews.com