Perdana Menteri tinjau Menara Kuantan 188 selepas pengerusikan mesyuarat ECER | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri tinjau Menara Kuantan 188 selepas pengerusikan mesyuarat ECER

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan tinjauan di 'skydeck' Menara Kuantan 188 selepas mempengerusikan mesyuarat ECER, hari ini. - Gambar- BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau Menara Kuantan 188, antara produk pelancongan terkini dan ikonik yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di tepi pesisir Sungai Kuantan, hari ini.

 

Beliau tiba di menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur itu, pada pukul 12.10 tengah hari selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kompleks Bandaraya Kuantan yang terletak kira-kira 200 meter dari menara itu. 

 

Setibanya di perkarangan Menara Kuantan 188, Perdana Menteri mendengar taklimat dan meninjau kenderaan rekreasi (RV) atau lebih dikenali sebagai karavan iaitu satu daripada produk pelancongan terkini yang dicadangkan oleh ECERDC untuk dibangunkan di sebuah daerah di Pahang.

 

Beliau bersama rombongan itu juga dibawa ke 'skydeck' Menara Kuantan yang menyajikan pemandangan 360 darjah keseluruhan bandar raya Kuantan.

 

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Menteri Besar Kelantan). 

 

Menyertai mereka ialah serta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz;  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat dalam satu kenyataan berkata, pelancongan RV adalah trend semasa yang semakin popular kerana ia memberi pilihan pelancongan lebih terbuka untuk pelbagai aktiviti luar dan aktiviti peribadi.

 

"Industri pelancongan RV sedang berkembang pesat di negara seperti Australia, China, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand serta menjadi komponen penting bagi ekonomi negara itu.

 

"Ini membuka peluang untuk Malaysia secara amnya dan ECER secara khususnya untuk memanfaatkan trend ini untuk mewujudkan peluang pertumbuhan pelancongan baharu di ECER dan meneroka potensi membangunkan industri RV di wilayah ini," katanya lapor Bernama.

 

Mengenai Menara Kuantan 188, Baizawi berkata, seramai 23,600 pelawat telah mengunjungi menara berkenaan sejak ia dibuka secara rasmi pada 15 Disember lepas.

 

Konsep reka bentuk pembinaan menara itu diinspirasikan daripada daun dan bunga pokok Teruntum Putih yang dulunya banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan. - DagangNews.com