KUALA LUMPUR 30 Mac - Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor penerbangan dan menjangkakan perjalanan udara akan terus pulih sepanjang tahun ini.
Firma itu berkata, pelbagai aktiviti diunjur kembali ke tahap pra-pandemik pada 2024.
Tourism Malaysia menjangkakan ketibaan pelancong di Malaysia melonjak 60% kepada 16 juta pada tahun ini berbanding anggaran 10 juta pada tahun sebelumnya.
"Pemacu utama adalah pelancong China yang mengikut sejarah menyumbang kepada anggaran 12% daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia.
"Pada tahun 2024, kami mengunjurkan ketibaan pelancong untuk melonjak lebih jauh sebanyak 24% kepada 20 juta, berbanding tahap pra-pandemik iaitu 26 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Melihat kepada perkembangan sama, firma itu menjangkakan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) Capital A berkembang 52% pada FY23.
Firma itu berkata, permintaan penumpangnya akan terus meningkat pada tahun ini dan pada November 2022, kumpulan itu telah mengendalikan 125 pesawat selain menyasarkan untuk mendapatkan 140 pesawat operasi bagi mencapai penggunaan armada penuh menjelang suku kedua tahun ini.
"Aplikasi Super airasianya dijangka berkembang, disokong oleh peningkatan berterusan permintaan perjalanan daripada pembukaan semula sempadan dan kempen taktikal, di samping jangkaan pertumbuhan daripada airasia Food, Ride dan Xpress," katanya.
"Teleport dijangka terus berkembang sepanjang tahun ini kerana ia akan menambah lorong antarabangsa dan hab penghantaran baharu.
"BigPay juga telah melancarkan platform pinjaman digitalnya yang memperluaskan perkhidmatannya untuk memasukkan produk pinjaman baharu," katanya. - DagangNews.com