Perkembangan hasil Mega First Corporation diunjur lemah pada 2023 kesan penurunan hasil bagi segmen RE | DagangNews Skip to main content

Perkembangan hasil Mega First Corporation diunjur lemah pada 2023 kesan penurunan hasil bagi segmen RE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mac - Public Investment Bank Research (PublicInvest) menjangkakan Mega First Corporation Berhad mencatatkan perkembangan hasil yang lemah pada 2023 kesan penurunan dalam faktor ketersediaan tenaga (EAF) bagi segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Firma itu berkata, Loji Tenaga Hidro Don Sahong dijangka menyaksikan EAF yang lebih rendah sebanyak 2% kepada 92% hingga 93% pada 2023, disebabkan penangguhan penyelenggaraan turbin tahunan dari Ogos hingga September 2022 hingga Feb dan Mac 2023, yang mengambil masa kira-kira 11-13 hari untuk setiap turbin.

 

"Pada masa ini, paras air di pencawang Pakse adalah rendah iaitu 1.38 meter memandangkan cuaca kering bermusim.

 

"Pinjaman terkumpul untuk loji janakuasa hidro itu kini berjumlah AS$94 juta (RM421 juta) dengan kadar faedah 5.21%.

 

"Dengan mengandaikan kadar pertukaran yang stabil pada RM4.40/AS$, ramalan pendapatan FY23 untuk segmen tenaga boleh diperbaharui dijangka lebih rendah sedikit pada EAF yang lebih lemah dan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh pelarasan kenaikan tarif 1%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pembinaan turbin kelima yang menelan belanja kira-kira AS$70-75 juta (AS$1.1-1.2 juta/MW) berada di landasan yang baik dengan sasaran siap sepenuhnya pada 3QFY24.

 

Katanya, memandangkan peningkatan mendadak dalam kadar faedah global, kadar pulangan dalaman (IRR) yang diperlukan untuk projek solar atas bumbung komersial dan industri telah disemak daripada 8% hingga 9% kepada 10%.

 

"Permintaan untuk pemasangan panel solar di Malaysia adalah kukuh memandangkan kenaikan tarif elektrik yang tinggi tahun ini manakala kos panel telah menurun lebih daripada 20% dalam tempoh lima bulan yang lalu," katanya.

 

Sementara itu, firma itu  berkata, kos pengeluaran dijangka kekal di bawah tekanan memandangkan peningkatan mendadak dalam surcaj elektrik mulai 1 Januari 2023 serta peningkatan kos tenaga kerja.

 

Katanya, bagi membendung tekanan kos, pihak pengurusan telah menyemak semula purata harga jualan (ASP) untuk menjual produk daripada RM300 bagi satu tan kepada RM410 bagi setiap tan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.74 sesaham. - DagangNews.com