KUALA LUMPUR 21 Ogos - Perkembangan margin faedah bersih (NIM) serta permohonan pinjaman yang kukuh dijangka menjadi pemacu berterusan kepada pertumbuhan pendapatan AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) pada masa hadapan.
RHB Investment berkata, ketika ini NIM mencatatkan perkembangan 10bps dari suku tahun ke suku tahun mengimbangi kelemahan kos kredit pada 1QFY25.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu yakin, masih terdapat banyak ruang untuk NIM berkembang selepas ini didorong kos pengurusan dana yang proaktif.
"Campuran pembiayaannya boleh ditingkatkan lagi, kerana kadar pembiayaan berjangka masih dalam aliran menurun. Mengenai deposit, kumpulan itu mula menurunkan semula harganya pada Jula 2024.
"Peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman terutamanya dalam segmen produk dengan hasil yang lebih tinggi, sepatutnya membolehkan pendapatan faedah mencatatkan pengembangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih AmBank meningkat 32.2% kepada RM500.2 juta pada 1QFY25
Terdahulu, pendapatan suku tahun berakhir 30 Jun 2024 itu berjumlah RM1.18 bilion, susut berbanding RM1.2 bilion pada 1QFY24.
Pendapatan faedah bersih (NII) meningkat sebanyak 6.4% tahun ke tahun kepada RM860.9 juta disebabkan pengembangan NIM sebanyak 13 mata asas kepada 1.89%.
RHB Investment berkata, pengurusan kumpulan memberi gambaran bahawa segmen pinjamannya kukuh, khususnya daripada sektor pembinaan serta hartanah dan seharusnya membolehkan mereka mencapai pertumbuhan satu digit pertengahan yang disasarkan menjelang khir tahun.
Pada masa sama, kmpulan itu menyatakan segmen perbankan pelaburannya juga sibuk manakala, dari segi perbendaharaan dan pasaran, ia mencatatkan keuntungan lumayan selepas menunjukkan prestasi menggalakkan daripada pasaran pendapatan tetap dan ekuiti baru-baru ini.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.90 sesaham," katanya. - DagangNews.com