KUALA LUMPUR 19 Okt - MyEG Services Berhad dijangka menyambung semula perkhidmatan berkaitan imigresen menjelang November tahun ini selepas menerima lanjutan kontrak selama dua tahun oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
CGS-CIMB Research berkata, sebagai sebahagian daripada lanjutan, kumpulan itu dikehendaki menjalani proses peningkatan sistem.
"Kami memahami bahawa proses peningkatan mungkin mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan dan ia dipercayai menyebabkan perkhidmatan tergendala sehingga sistem siap sepenuhnya.
"Secara keseluruhan, kami masih menjangkakan segmen imigresen membentuk komposisi hasil yang besar iaitu antara 36% hingga 41% bagi FY23 hingga FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, MyEG diberikan lanjutan selama dua tahun oleh KDNbagi perkhidmatan berkaitan imigresen dan anggaran nilai bagi lanjutan itu bergantung kepada bilangan transaksi yang dilakukan dalam tempoh tersebut.
Kumpulan itu menyatakan bahawa peningkatan sistem adalah antara keperluan daripada lanjutan kontrak itu.
Firma penyelidikan itu berkata, lebih penting ialah garis masa bagi platform ZTrade MyEG disiarkan secara langsung, selepas itu semua perdagangan kastam masuk antara Malaysia dan China mungkin akan diproses melalui platform tersebut.
Katanya, ia boleh memberikan hasil berulang yang lumayan kepada MyEG melalui bayaran tetap yang dijana untuk setiap Sijil Asal (CO) yang dikeluarkan.
"Kami menjangkakan ZTrade akan menambat pertumbuhan untuk segmen blockchain MyEG, dilengkapi dengan perkhidmatan sampingan lain, seperti kelayakan identiti digital dan jualan token Zetrix.
"Ini boleh menampung penurunan hasil daripada segmen pengangkutan disebabkan pendigitalan dokumentasi berkaitan JPJ," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.10 sesaham. - DagangNews.com