KUALA LUMPUR 10 Nov - MIDF Research menjangkakan permintaan domestik Malaysia dijangka kukuh pada suku keempat tahun ini disokong oleh pelbagai faktor termasuk tekanan inflasi yang semakin berkurangan.
Selain itu, katanya unjuran itu disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan selain terdapat peningkatan dalam aktiviti pelancongan serta dasar ekonomi yang positif.
"Kami meramalkan bahawa pertumbuhan perdagangan runcit mencapai 11.8% tahun ini dan 8.1% pada 2024.
"Bagi suku ketiga 2023, jualan perdagangan pengedaran berkembang sebanyak 6.8% tahun ke tahun menandakan sedikit peningkatan dalam prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia," katanya dalam satu nota kajian.
BACA JUGA: Indeks volum perdagangan borong dan runcit Malaysia naik 5% pada suku ketiga 2023 - DOSM
Terdahulu, peningkatan itu disumbangkan subsektor kenderaan bermotor yang melonjak 11.2%, diikuti perdagangan borong dan perdagangan runcit yang meningkat masing-masing 6.1% dan 3.4%.
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, indeks volum naik 2.5%, disokong kenderaan bermotor yang tumbuh 8.5%.
Pertumbuhan positif 11.2% bagi indeks volum subsektor kenderaan bermotor disokong jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor masing-masing dengan 14.9% dan 13.3%.
Firma penyelidikan itu berkata, perdagangan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.9% dari tahun ke tahun pada September 2023, rendah sedikit daripada kadar tertinggi empat bulan yang dicatatkan pada Ogos 2023.
Katanya, pada asas bulan ke bulan, perdagangan runcit bukan pelarasan bermusim masih berkembang pada kadar 1.4%.
"Jualan perdagangan pengedaran keseluruhan meningkat sebanyak 6.5% tahun ke tahun dan 0.1% dari bulan ke bulan," katanya. - DagangNews.com