Permintaan penjagaan kesihatan swasta melonjak tahun depan, ramal CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Permintaan penjagaan kesihatan swasta melonjak tahun depan, ramal CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Permintaan terhadap sektor penjagaan kesihatan beretika swasta dijangka pulih menjelang pada tahun hadapan sejajar lonjakan kehadiran pesakit.

Kehadiran pesakit ke hospital merudum selepas banyak prosedur bukan kronik ditangguhkan hampir sepanjang tahun 2020. 

“Permintaan daripada sektor awam juga dijangka kekal stabil memandangkan tempoh kontrak untuk bekalan produk farmaseutikal serta bukan farmaseutikal bagi kemudahan sektor kesihatan kerajaan kekal berterusan sehingga 31 Disember 2021,” kata CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya. 

Ini sekaligus menjadi pemangkin positif buat pendapatan syarikat farmaseutikal, Duopharma Biotech Berhad (Duopharma) yang menyaksikan jualan pada suku ketiga 2020 (3Q20) merosot. 

Jualan sepanjang sembilan bulan 2020 (9M20) mendatar pada kadar -0.7%, menurun berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Ini dibantu oleh pertumbuhan segmen penjagaan kesihatan pengguna yang mengimbangi permintaan lemah daripada segmen penjagaan kesihatan beretika swasta. 

“Hasil 3Q20 Duopharma menurun sebanyak 6.4% tahun ke tahun dan 6.7% untuk perbandingan suku tahunan. 

“Kami fikir ini disebabkan oleh kekurangan kehadiran pesakit ke hospital swasta dan klinik ketika penularan COVID-19,” tambah CGS-CIMB. 

Sehubungan itu, GCS-CIMB menyarankan untuk ‘kurangkan’ saham Duopharma dengan sasaran harga (TP) dinaikkan kepada RM2.50.

“Walaupun Duopharma perlu memainkan peranan dalam proses mengisi serta melengkapkan vaksin COVID-19 (dijangka diperoleh seawal 1H21), kami fikir prestasi harga saham yang luar biasa ketika ini mendahului asas (penilaian saham),” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com