Permintaan produk pembungkusan plastik SLP Resources di pasaran Jepun dijangka bertambah baik - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Permintaan produk pembungkusan plastik SLP Resources di pasaran Jepun dijangka bertambah baik - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kenanga Research menjangkakan SLP Resources Bhd terus mencatatkan pemulihan permintaan untuk produk pembungkusan plastiknya didorong pertambahan pesanan daripada pasaran Jepun.

 

Katanya, tahap pengeluaran juga dilihat menjadi lebih tinggi dibantu kadar penggunaan yang semakin bertambah dan kecekapan operasi yang lebih baik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, lonjakan dalam industri pelancongan Jepun, mata wang Yen yang lemah, mendorong peningkatan permintaan untuk beg sampah di pasaran itu yang seterusnya menyumbang kepada prospek pertumbuhan kumpulan.

 

"SLP kekal fokus pada produk premium seperti filem MDO-PE (filem mono kitar semula sepenuhnya) dengan fokus kepada pembungkusan mampan di seluruh dunia.

 

"Menjelang akhir 2024, kami menjangkakan kapasiti penghasilan MDO-PE membentuk kira-kira 25% daripada jumlah pengeluaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih SLP Resources pada 1QFY24 melonjak 63% kepada RM4.9 juta

 

Terdahulu, hasil 1QFY24 kumppulan meningkat 1% apabila jualan ke Jepun lebih tinggi (+38%) terutamanya untuk beg sampah, mengimbangi jualan domestic dan Australia yang lemah.

 

Pada FY23, Jepun, Malaysia dan Australia masing-masing menyumbang 29%, 65% dan 3% daripada jumlah jualan SLP.

 

Bagaimanapun, untung bersih terasnya melonjak 64% disokong campuran produk yang lebih baik, dengan bahagian yang lebih besar bagi jualan pembuatan margin lebih tinggi berbanding perdagangan resin margin rendah dan skala ekonomi yang lebih baik pada jumlah pengeluaran yang lebih tinggi .

 

Firma penyeldikan itu menyemak naik unjuran pendapatan FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 13% dan 12%, bagi mencerminkan margin yang lebih baik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.16 sesaham," katanya.- DagangNews.com