Permohonan bayaran tunai subsidi diesel pemilik kenderaan logistik yang belum menerima kad fleet dibuka mulai 1 Julai 2024 | DagangNews Skip to main content

Permohonan bayaran tunai subsidi diesel pemilik kenderaan logistik yang belum menerima kad fleet dibuka mulai 1 Julai 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kerajaan akan mula menerima permohonan pembayaran tunai daripada pemilik kenderaan di bawah Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang masih belum menerima kad fleet bermula 1 Julai 2024.

 

Kementeria Kewangan alam satu kenyataan berkata, kemudahan itu terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan di bawah SKDS 2.0. 

 

Pihak berkelayakan boleh memohon untuk mendapat pembayaran tunai itu menerusi portal Budi Madani di https://budimadani.gov.my. 

 

"Penuntut akan diberi bayaran semula secara tunai bagi menampung perbezaan antara harga runcit diesel semasa iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun 2024, dengan had liter bulanan yang ditetapkan," katanya.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme pembayaran semula itu bertujuan untuk membantu perniagaan logistik berkelayakan sejajar dengan mekanisme penyasaran subsidi diesel dan sekali gus dapat mengurangkan risiko kenaikan harga kepada barangan keperluan.

 

“Skim subsidi diesel bersasar ini bertujuan menangani ketirisan seterusnya memastikan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan. 

 

"Langkah ini akan memperkasakan lagi pengurusan serta kecekapan kewangan awam dalam usaha untuk meningkatkan kemakmuran negara seperti diilhamkan dalam kerangka Ekonomi Madani. Saya ingin mengulangi bahawa kerajaan kekal tekad dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan kerajaan.

 

"Kerajaan giat memastikan pelaksanaan skim penyasaran subsidi diesel ini berjalan lancar dan sentiasa terbuka kepada saranan penambahbaikan mencapai matlamatnya," katanya.

 

Terma dan syarat bagi mekanisme pembayaran semula interim ini adalah seperti berikut:

  • Pemilik kenderaan logistik berkelayakan mesti memastikan sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi permohonan di bawah SKDS 2.0 sebelum atau pada 30 Jun 2024, tetapi masih belum menerima fleet card

 

  • Permohonan fleet card perlu dihantar kepada syarikat pengendali stesen minyak terlibat sebelum 15 Julai 2024.

 

  • Tuntutan akan diterima bermula 1 Julai 2024.

 

  • Tertakluk kepada had liter tuntutan minyak diesel bagi setiap tuntutan, dengan setiap tuntutan hanya untuk perbelanjaan sebulan seperti dinyatakan.

.

  • Resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit.

 

  • Kementerian Kewangan akan menyalurkan pembayaran semula tunai dalam 15 hari bekerja bagi setiap tuntutan yang diluluskan.

 

  • Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon bermula 10 Jun 2024 sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

 

Kerajaan menggesa pemilik-pemilik 23 jenis kenderaan logistik komersial yang layak untuk memohon di bawah SKDS 2.0 supaya membuat permohonan dengan segera bagi mengelak daripada lonjakan kos pengangkutan. 

 

Pengusaha perniagaan logistik berkelayakan boleh mengemukakan permohonan di bawah SKDS 2.0 di https://mysubsidi.kpdn.gov.my- DagangNews.com