KUALA LUMPUR 8 Sept - Jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah susut kepada RM51.1 bilion atau penurunan 12.5% pada Julai 2022 selepas melonjak 21.4% pada bulan sebelumnya.
MIDF Research berkata, menurut data Bank Negara Malaysia (BNM), permohanan bagi Julai 2022 adalah lebih rendah berbanding Jun 2022 kerana permintaan kembali normal.
"Permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah pada Julai 2022 adalah lebih tinggi (+50.9% dari tahun ke tahun) menunjukkan sentimen pembelian lebih baik selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah merosot kepada RM22.7 bilion atau penurunan 9% dari bulan ke bulan pada Julai 2022 selepas meningkat sebanyak 20.1% pada Jun 2022.
Katanya, pinjaman diluluskan yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh permohonan pinjaman yang lebih rendah.
"Jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah pada Julai 2022 melonjak 74.2% menggambarkan prospek jualan baharu yang lebih baik untuk pemaju hartanah.
"Kelulusan pinjaman yang lebih tinggi itu turut dibantu peratusan lebih tinggi daripada jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah permohonan pinjaman sebanyak 44.5% pada Julai 2022 berbanding 38.5% pada Julai 2021," katanya.
Firma itu berkata, berdasarkan keputusan kewangan bagi 2QCY22, tiga pemaju hartanah iaitu UOA Development, Mah Sing Group dan SP Setia melaporkan pendapatan yang masuk dalam jangkaan manakala tiga lagi pemaju hartanah iaitu Sunway Berhad, IOI Properties Group and UEM Sunrise melaporkan pendapatan yang lebih tinggi.
Katanya, pendapatan Sunway disokong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada bahagian pelaburan hartanah manakala pendapatan IOI Properties dibantu perbelanjaan lebih rendah daripada jangkaan.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu dan pilihan utama mereka dalam sektor itu termasuk Mah Sing (beli, harga sasaran (TP): 74 sen) kerana pendapata mereka stabil dan kemajuan projek di Lembah Klang dan IOI Properties (beli, TP: RM1.29) dengan prospek pendapatan mereka disokong oleh bahagian pelaburan hartanah serta segmen hospitaliti. - DagangNews.com