Pernas sasar pembiayaan RM3.68 juta pada Program BizFrancais di Perak | DagangNews Skip to main content

Pernas sasar pembiayaan RM3.68 juta pada Program BizFrancais di Perak

Salbiah (tengah) bersama Hazimah (dua dari kiri) bergambar selepas merasmikan Program BizFrancais Perak 2023 di Ipoh, Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 19 Jun - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dengan kerjasama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM3.68 juta dalam Program BizFrancais Perak 2023.

 

Ipoh menjadi lokasi pertama bagi siri jelajah Program BizFrancais tahun ini yang akan diadakan di lima lokasi lain iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang. 

 

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, Pernas telah menganjurkan 16 siri program BizFrancais di seluruh negara sejak ia diperkenalkan pada tahun 2019. 

 

“Objektif program ini untuk memperkenalkan perniagaan francais dan prafrancais serta menyampaikan maklumat yang ditawarkan oleh Pernas.

 

Salbiah (tiga dari kanan) bersama Hazimah (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek pembiayaan kepada salah seorang usahawan.
Salbiah (tiga dari kanan) bersama Hazimah (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek pembiayaan kepada salah seorang usahawan.

 

"Pernas telah meluluskan sebanyak RM14.94 juta pembiayaan daripada penganjuran program BizFrancais sejak tahun 2019 sehingga 2022

 

"Bagi negeri Perak pula, sejak 2004 kita telah membiayai sebanyak RM17.6 juta kepada kepada para usahawan," katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Program BizFrancais 2023 peringkat negeri Perak di Hotel Casuarina semalam.

 

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed.

 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek dan Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.

 

Salah seorang usahawan memberi penerangan tentang produk yang dipamerkan.
Salah seorang usahawan memberi penerangan tentang produk yang dipamerkan.

 

Turut dimeterai pada majlis sama ialah memorandum persefahaman (MoU) antara Pernas dan Universiti Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) untuk memberi pendedahan kepada pelajar universiti dan graduan mengenai ekosistem francais.

 

Hamizah berkata, Pernas akan menyediakan khidmat nasihat, latihan keusahawanan, pembangunan perniagaan serta francais dan latihan industri kepada pelajar dan graduan USAS. 

 

“MoU ini menjadi titik permulaan kepada Pernas untuk mengadakan kerjasama dengan universiti lain pada masa hadapan,” katanya. 

 

Selain itu, turut berlangsung sesi penyampaian cek replika, sijil penghargaan kepada peserta Projek Excelerator, Program Pembangunan Francais, surat tawaran program BIT Pernas.

 

Pernas turut menyumbang barang keperluan kepada 200 asnaf sempena program tanggungjawab sosial korporat Pernas Prihatin dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. - DagangNews.com