Perolehan besar ATM tanda positif pembangunan aset  | DagangNews Skip to main content

Perolehan besar ATM tanda positif pembangunan aset 

Banyak syarikat tempatan berstatus hiliran akan mendapat manfaat daripada perolehan ATM.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

PENGESAHAN pembelian aset pertahanan kerajaan yang diumum semasa pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, merupakan langkah positif terhadap usaha untuk melaksanakan rancangan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Ini menunjukkan indikator positif setelah beberapa tahun rancangan perolehan besar terpaksa ditangguhkan atas alasan kewangan negara yang terhad.

 

Persetujuan untuk memilih 18 pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA) jenis FA-50 buatan Korea Selatan merupakan pengumuman penting setelah tiga tahun dinantikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

 

parafrasa
Keputusan membeli pesawat FA-50 mendekatkan lagi hubungan Malaysia-Korea Selatan.

 


Begitu juga kelulusan kerajaan untuk menyegerakan perolehan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 setelah mengambil kira keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Justeru, tahun 2023 bakal merancakkan kembali penglibatan secara langsung industri pertahan negara berikutan perolehanan yang telah diputuskan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2023: Perolehan FA 50, projek LMS Batch2 rancakkan industri pertahanan negara

 

Kerancakkan ini akan bermula semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) pada Mei nanti apabila kontrak-kontrak berkenaan dimeterai secara rasmi.

 

 

5

 

 

Dijangka sekurang-kurangnya RM4 bilion hingga RM5 bilion nilai perolehan pertahanan akan dimeterai pada acara itu menjadikan angka ini sebagai terbesar berbanding LIMA 2019.

 

Angka tertinggi yang pernah dicatatkan adalah semasa LIMA 2015 iaitu RM9.3 bilion melibatkan pelbagai kontrak, surat niat, surat setuju dan kerjasama.

 

Perolehan tiga buah LMS Batch 2 memberi signifikan besar yang menunjukkan kerajaan mengambil langkah bergerak ke hadapan setelah  dibelenggu dengan isu kapal tempur pesisir (LCS).

 

Ia juga menjadi magnet pada firma-firma maritim luar negara untuk menawarkan teknologi pembuatan kapal masing-masing sebagai calon LMS TLDM.

 

Ini melibatkan semua kitaran industri seperti sistem pengurusan kapal, radar, enjin dan persenjataan termasuk pengeluar peluru berpandu.

 

Jadi, jangkaan banyak firma dan syarikat berkaitan akan hadir semasa LIMA 2023 di Langkawi.

 

 

parafrasa
LIMA 2023 kembali merancakkan perolehanan ATM pada masa akan datang.

 

 

Selain dua perolehanan ini, tahun lalu juga kerajaan telah mengumumkan persetujuan perolehanan bagi pesawat rondaan maritim (MPA), sistem pesawat tanpa pemandu (UAV-Medium Altitude Long Endurance) dan kenderaan perisai.

 

Bermakna dalam tempoh lapan bulan iaitu antara Jun 2022 hingga Februari 2023 kerajaan telah memutuskan lima perolehan bagi ATM yang nilai keseluruhannya jika disatukan melebihi RM8 bilion.

 

Ini adalah satu angka besar bagi negara kita yang sangat cermat dalam memutuskan sesuatu perolehan.

 

Dua buah pesawat MPA buatan firma  Leonardo dari Itali iaitu ATR 72 MP menjadi pilihan TUDM berdasarkan ciri-ciri yang ada selain kos operasi yang rendah.

 

TUDM bakal menerima pesawat pertama pada awal tahun 2026 dan pesawat kedua pada tahun 2027.

 

Selain rondaan, ATR 72 MP boleh melaksanakan misi antikapal selam, peperangan antipermukaan serta perisikan elektronik.

 

 

ATR 72 MP
Pesawat ATR 72 MP buatan Itali

 

 

TUDM merancang untuk memperolehi enam buah pesawat MPA secara keseluruhannya bagi menggantikan pesawat Beechcraft Super King Air B200T yang telah berkhidmat dalam TUDM sejak tahun 1994.

 

Firma Turkish Aerospace Industries (TAI) pulau memenangi kontrak bagi perolehan tiga buah UAS MALE Anka-S.

 

Sejak 2018, firma TAI telah memeterai kerjasama dengan DRB-HICOM Defense Technologies (DEFTECH) bagi jualan dan sokongan untuk memasarkan Anka-S kepada ATM.

 

ARTIKEL BERKAITAN: LIMA23 dilancar secara rasmi pada 16 Januari 2023

 

Malaysia sebelum ini menunjukkan minat pada MALE UAS Anka-S semasa dipertontonkan pada LIMA 2019.

 

Perolehan UAS MALE ini berlandaskan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) dan selari dengan Pelan Pembangunan 4 Dimensi Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) bagi menyokong Kertas Putih Pertahanan.

 

Aset UAS MALE ini akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan bagi meningkatkan penguasaan domain udara TUDM khususnya dalam melaksanakan pengawasan di Laut China Selatan dan Pantai Timur Sabah.

 

Bagaimana pun, bagi perolehanan kenderaan perisai baharu untuk menggantikan Radpanzer Condor dan Sibmas belum ada lagi perincian mengenainya.

 

 

parafrasa
Perolehan tiga buah LMS Batch 2 memberi signifikan besar dan magnet menarik penyertaan firma asing.

 

 

Disebabkan kontrak ini bagi Tentera Darat, ada kemungkinan ia dimuktamadkan pada tahun hadapan atau lebih tepat semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Kuala Lumpur.

 

Ini adalah biasa kerana kerajaan atau Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memilih untuk memeterai sebarang perolehanan sama ada semasa LIMA atau DSA mengikut angkatan mana yang bakal menerimanya.

 

Pembelian kenderaan perisai baharu ini juga besar iaitu dalam anggaran 136 buah bersama kenderaan jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion. - DagangNews.com