Persatuan PKS minta kerajaan lanjutkan Program Subsidi Upah hingga Disember | DagangNews Skip to main content

Persatuan PKS minta kerajaan lanjutkan Program Subsidi Upah hingga Disember

KUALA LUMPUR 1 Jun - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan Program Subsidi Upah sehingga ke hujung tahun.

 

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan SAMENTA, Datuk William Ng berkata, kos upah merupakan antara kos terbesar untuk PKS, dan pemberian subsidi untuk satu bulan sebenarnya tidak mencukupi.

 

“Kebanyakan PKS telah pun habis simpanan mereka, malah kekurangan tunai untuk membayar sewa dan pembekal.

 

“Oleh itu, tanpa subsidi upah, lebih ramai usahawan PKS mungkin terpaksa melepaskan kakitangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Ng berkata, SAMENTA mengalu-alukan pengumuman PEMERKASA Plus oleh Perdana Menteri semalam.

 

Menurut beliau, program tersebut dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah mula hilang akal bagaimana untuk mengharungi PKP 3.0 ini.

 

Samenta
William Ng

 

Secara khususnya kata beliau, perlanjutan Program Subsidi Upah untuk sektor ekonomi yang terkesan, moratorium pinjaman untuk PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP dan Geran Khas Prihatin adalah bantuan yang tepat pada masanya.

 

“Sekali lagi, kami mengesyorkan supaya kerajaan pusat segera menggerakkan jentera kerajaan-kerajaan negeri serta sektor swasta untuk mencepatkan program vaksinasi.

 

“Kami berharap kerajaan akan bersetuju dengan cadangan kami untuk mengutamakan sektor ekonomi di dalm program vaksinasi termasuk membenarkan PKS mengatur diri mereka sendiri untuk tujuan ini,” katanya.

 

Sementara itu, SAMENTA menggesa semua ahli dan PKS lain untuk mematuhi semua SOP PKP, dan membantu kerajaan membawa turun kadar jangkitan COVID-19.

 

“Kami turut menyeru semua PKS yang menerima subsidi upah dan bantuan lain supaya tidak menyalahgunakan subsidi tersebut dan memberhentikan kakitangan mereka,” kata beliau. – DagangNews.com