Persekitaran operasi mencabar, Maybank IB semak turun unjuran margin faedah bersih Bank Islam | DagangNews Skip to main content

Persekitaran operasi mencabar, Maybank IB semak turun unjuran margin faedah bersih Bank Islam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran margin faedah bersih (NIM) Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) selepas mengambil kira persekitaran operais yang mencabar untuk kumpulan itu. 

 

Firma itu berkata, unjuran itu juga berdasarkan persaingan deposit yang sengit dan pada masa sama pihaknya menaikkan andaian kos kredit memandangkan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan.

 

Katanya, persekitaran operasi sangat mencabar dan sasaran bank untuk tahun ini nampaknya terpaksa dipanjangkan.

 

"Dengan persaingan harga, sasaran NIM FY23 kumpulan itu sebanyak 2.2% berkemungkinan berada dalam tekanan, manakala pertumbuhan kos operasi berkemungkinan lebih pantas pada 7% hingga 9% berbanding sasaran 7% sebelum ini.

 

"Sementara itu, kos kredit berkemungkinan meningkat kepada 40-50bps, daripada panduan sebelumnya iaitu kira-kira 33-35bps," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan perniagaan setakat ini lemah mengikut musim tetapi BIMB optimis mencapai sasaran pertumbuhan pembiayaan sebanyak 7% hingga 8% bagi FY23 berbanding 11% pada FY22.

 

"Portfolio pembiayaan peribadi terus berkembang dengan bank menyasarkan golongan profesional, untuk memastikan kualiti aset dan mereka juga menyasarkan pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkat pada FY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM2.20 sesaham berbanding RM2.50 sebelum ini. - DagangNews.com