Pertambahan tenaga kerja akan kukuhkan pendapatan V.S Industry bermula 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Pertambahan tenaga kerja akan kukuhkan pendapatan V.S Industry bermula 1QFY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Sept - V.S Industry Berhad diunjur terus mencatat keputusan kewangan yang lebih kukuh bermula 1QFY23 dan seterusnya disokong oleh pertambahan tenaga kerja.

 

CGS-CIMB Research berkata, ia juga disokong oleh pemasangan pemasangan kotak untuk model baharu bagi pelangggan mereka selain peningkatan margin keuntungan daripada kadar penggunaan yang lebih tinggi untuk kemudahannya.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana ia memiliki pelbagai pelanggan dan mereka merupakan penerima manfaat utama daripada pembuatan bangan asli (OEM).

 

"Usaha mendapatkan pelanggan baharu merupakan pemangkin kepada penarafan semula kumpulan itu.

 

"Bagaimanapun, mereka berdepan dengan beberapa cabaran termasuk permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan dan kos yang lebih tinggi untuk kerja-kerja pembuatan bagi pelanggan baharu," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM34.57 juta pada suku keempat berakhir 31 Julai 2022 dan menyatakan kekurangan tenaga kerjanya kini telah diselesaikan berikutan ketibaan bilangan pekerja asing yang mencukupi.

 

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik bersepadu itu berjaya menguruskan gangguan rantaian bekalan dan isu logistik walaupun berdepan pelbagai cabaran.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga mendapat manfaat daripada pengurangan gangguan rantaian bekalan yang secara tidak langsung membawa kepada pengembangan margin teras sebanyak 2.9% untuk segmen di negara ini.

 

Selepas mengambil kira semua faktor berkaitan, firma itu mengekalkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) terasnya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' pada harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.21 sesaham," katanya. - DagangNews.com