Pertumbuhan dagangan halal Malaysia-Jepun dijangka melonjak pada 2024 – HDC  | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan dagangan halal Malaysia-Jepun dijangka melonjak pada 2024 – HDC 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Halal Development Corporation Bhd (HDC) menjangkakan lonjakan besar dalam perdagangan halal antara Malaysia dan Jepun pada 2024 dan seterusnya.

 

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun menyatakan bahawa peningkatan kesedaran dan penerimaan produk halal dalam kalangan pengguna dan perniagaan merupakan antara faktor penyumbang utama kepada trajektori pertumbuhan ini.

 

Selain itu, beliau berpendapat bahawa kestabilan politik, persekitaran pelaburan yang menggalakkan, kemajuan teknologi dalam rantaian bekalan halal dan Ekspo Dunia 2025 turut menjadi pemangkin utama pertumbuhan tersebut.

 

“Kami menyaksikan peningkatan kesedaran halal dalam kalangan pengguna dan perniagaan, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman, kosmetik, dan pelancongan. 

 

 

Khairul Azwan Harun
Khairul Azwan Harun

 

 

“Kestabilan politik Malaysia dan ekosistem halal yang mesra pelabur, serta komitmen kami terhadap piawaian berstatus emas dalam pensijilan halal, memberikan asas yang kukuh untuk hubungan perdagangan yang teguh antara kedua-dua negara," ujar Khairul Azwan dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Khairul Azwan mendedahkan bahawa eksport Malaysia berjumlah RM59.46 bilion pada 2022, dengan eksport Halal ke Jepun mencecah RM3.6 bilion.

 

Menurut beliau, ia merupakan angka tertinggi sejak 2018 meskipun berdepan ekonomi global yang tidak menentu, menekankan daya tahan dan potensi pertumbuhan eksport halal Malaysia.

 

Penerapan teknologi dan inovasi turut menjadi daya penggerak yang mempertingkat rantaian bekalan halal, memastikan kualiti, kecekapan dan ketelusan.

 

Ekspo Dunia 2025 Osaka, yang bakal diadakan selama enam bulan bermula 13 April 2025, merupakan platform besar bagi mempamerkan kecemerlangan halal Malaysia di persada global, mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala Malaysia dan Jepun.

 

Oleh demikian, HDC menggalakkan perniagaan Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneroka pasaran halal, yang melibatkan eksport produk Malaysia ke Jepun, sekali gus dapat meletakkan Malaysia sebagai hab halal bagi syarikat Jepun yang berhasrat meneroka pasaran global.


Dengan bekerjasama dengan Malaysia, HDC berkata firma Jepun boleh memanfaatkan kepakaran dan sumber untuk memasuki pasaran ini dengan lebih berkesan, mengembangkan pangkalan pelanggan mereka dan mempelbagaikan aliran pendapatan mereka.  - DagangNews.com