KUALA LUMPUR 22 Nov - Agensi fokal untuk ekosistem syarikat pemula Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan bursa sekuriti digital Malaysia, Kapital DX Sdn Bhd (KLDX), bagi menyediakan saluran pembiayaan alternatif untuk syarikat pemula Malaysia.
Kerjasama itu menawarkan fleksibiliti yang lebih besar kepada syarikat pemula dalam memilih pembiayaan yang sesuai dengan keperluan unik mereka, membolehkan syarikat yang mungkin tidak menarik perhatian firma modal teroka (VC) tempatan untuk mendapatkan pembiayaan melalui platform KLDX.
Ia merupakan inisiatif utama di bawah Program Fund Funnel oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan menangani satu daripada cabaran utama dalam ekosistem syarikat pemula Malaysia, iaitu kekurangan kesinambungan kewangan dari peringkat awal hingga peringkat pertumbuhan seterusnya.
Jurang itu dikenal pasti sebagai penghalang utama kepada pertumbuhan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, kerjasama antara Cradle dan KLDX membuktikan komitmen untuk membangunkan ekosistem syarikat pemula yang mampan di Malaysia.
"Program Fund Funnel diwujudkan untuk menangani jurang pembiayaan yang kritikal dalam ekosistem ini, memastikan syarikat pemula mempunyai akses berterusan kepada modal dari peringkat awal sehingga fasa pertumbuhan mereka.
"Dengan menyediakan pilihan pembiyaan alternatif, kita memberi peluang kepada syarikat pemula untuk berkembang, sekali gus merealisisasikan hasrat Malaysia untuk berada dalam 20 ekosistem syarikat pemula terbaik dunia menjelang tahun 2030," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke menyifatkan kerjasama tersebut mencerminkan komitmennya dalam memupuk dan membangunkan ekosistem syarikat pemula Malaysia.
"Dengan pengalaman luas membiayai syarikat pemula peringkat awal, Cradle memahami keperluan kritikal untuk akses modal yang berterusan apabila syarikat berkembang.
"Melalui KLDX, kami memperkenalkan pilihan pembiayaan inovatif yang memberikan fleksibiliti yang diperlukan untuk pertumbuhan dan inovasi," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLDX, Selvarany Rasiah pula berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan Cradle untuk mencipta laluan transformasi bagi syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam mengakses pembiayaan alternatif melalui platform KLDX.
Katanya, kerjasama berkenaan adalah langkah signifikan bagi menutup jurang pembiayaan yang dikenal pasti dalam ekosistem syarikat pemula dan PKS Malaysia yang membolehkan mereka berinovasi, berkembang dan bersiap sedia untuk kejayaan jangka panjang, termasuk potensi untuk tawaran awam permulaan (IPO).
"Dengan menawarkan pilihan pembiayaan yang fleksibel, KLDX dan Cradle memperkasakan startup Malaysia untuk berkembang secara mampan dan menyumbang kepada visi negara menjadi peneraju global dalam landskap syarikat pemula," jelas beliau. - DagangNews.com