Pertumbuhan KDNK diramal lebih tinggi daripada unjuran Bank Negara, kata CIMB | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan KDNK diramal lebih tinggi daripada unjuran Bank Negara, kata CIMB

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai tahap tertinggi daripada yang disasarkan antara 4% hingga 5% oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2024, kata CIMB Treasury and Markets Research.

 

Katanya, ia berikutan peningkatan 5.8% dalam anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2024, kata bank tersebut dalam satu nota penyelidikannya hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, faktor seperti pasaran tenaga kerja yang teguh, perbelanjaan isi rumah yang kukuh, pelaburan yang berterusan, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pemulihan perdagangan serta peningkatan pelancongan merupakan penyumbang utama kepada kekuatan ekonomi negara.

 

Selain itu, ringgit telah menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang asing yang lain, kerana tindakan yang diselaraskan telah mengurangkan tekanan daripada perbezaan kadar, perkembangan global, dan risiko geopolitik.

 

“BNM telah memantau aliran tukaran mata wang dua hala yang lebih sihat, disokong oleh pendapatan pelaburan dan penukaran dalam eksport, serta fleksibiliti pantas bagi  korporat melabur ke luar negara. Ini menegaskan campur tangan adalah dipacu pasaran dan bukannya permulaan kepada kawalan modal," katanya, lapor Bernama.

 

Sementara itu, CIMB menekankan bahawa Malaysia sedang menghalakan kecairan ke arah pelaburan untuk merangsang pertumbuhan. 

 

Katanya, syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dijangka memperuntukkan antara RM400 bilion dan RM500 bilion ke dalam pelaburan bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

"Pelaburan ini adalah penting bagi membangunkan insentif dan ekosistem serantau, seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Forest City dan pelbagai projek-projek taman perindustrian.

 

"Ia juga akan memudahkan penyelarasan pembiayaan dengan projek-projek dan memperluaskan manfaat FDI melalui rantaian bekalan dalam negara," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menambah, pelaksanaan pembaharuan dan dasar yang lebih kukuh untuk asas-asas domestik Malaysia berkemungkinan akan meningkatkan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia yang mempunyai sasaran 12 bulan kepada 3.75% hingga 3.8%.

 

Bersama dengan sentimen pelabur yang semakin baik dan kemungkinan pemotongan kadar dasar oleh Amerika Syarikat (AS), faktor-faktor itu juga dijangka mempengaruhi kadar pertukaran dolar AS kepada ringgit.- DagangNews.com