KUALA LUMPUR 1 Mac - CGS-CIMB Research mengunjurkan pemulihan dalam pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) teras Affin Bank Berhad kepada 72.3% bagi FY23 didorong peningkatan 17.6% dalam pendapatan bukan faedah.
Firma itu berkata, ia juga disebabkan oleh pendapatan pelaburan yang bertambah baik selain penurunan 6.9% dalam peruntukan kerugian pinjaman.
"Kami mengekalkan anggaran untung bersih FY23-24 kami tetapi menurunkan unjuran EPS FY23-24 kira-kira 2.8%.
"Apabila kami meningkatkan asas saham andaian kami daripada 2.21 bilion saham kepada 2.27 bilion saham untuk mengambil kira saham baharu yang diterbitkan dibawah pelan pelaburan semula dividen," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) turun satu pertiga pada asas tahun ke tahun kepada RM138.26 juta manakala hasil lebih rendah sedikit pada RM566.71 juta daripada RM572.13 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Keuntungan bersih untuk keseluruhan tahun kewangan 2022 (FY22) meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM1.3 bilion berikutan hasil yang meningkat kepada RM3.3 bilion daripada RM2.24 bilion pada FY21.
Firma itu berkata, bank itu sebelum ini mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM118.9 juta pada 3QFY22 apabila ia meningkatkan peruntukan kerugian pinjaman untuk meningkatkan perlindungan kerugian pinjamannya melebihi 100%.
Katanya, pada 4QFY22 bank itu berjaya mengubah keputusan itu dengan melaporkan untung bersih teras RM138.3 juta, hasil daripada lonjakan 47.7% dari suku tahun ke suku tahun dalam pendapatan bukan faedah dan hapus kira bersih sebanyak RM2.6 juta dalam peruntukan kerugian pinjaman.
"Bagaimanapun, untung bersih 4QFY22 merosot sebanyak 33.1% diheret oleh kadar cukai yang lebih tinggi sebanyak 39% kesan daripada Cukai Makmur berbanding 2.5% pada 4QFY21," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM2.36 sesaham. - DagangNews.com