KUALA LUMPUR 6 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan pertumbuhan pinjaman menyusut dalam beberapa bulan akan datang berdasarkan pertunjuk utama yang lemah.
Firma itu berkata, pertumbuhan pinjaman bank mengalami permulaan yang buruk pada 2023 apabila jumlah pinjaman industri menguncup sebanyak 0.2% dari bulan ke bulan pada Januari 2023.
Katanya, ia membuatkan kadar pinjaman dari tahun ke tahun menguncup daripada 5.7% pada Disember 2022 kepada 4.9% pada Januari 2023 dan sebahagian besarnya selaras dengan jangkaan firma itu.
Firma itu berkata, kedua-dua permohonan pinjaman dan kelulusan jatuh pada Januari 2023 masing-masing sebanyak 13.2% dan 6.1%.
Katanya, pertumbuhan menjadi perlahan untuk segmen pinjaman isi rumah (penurunan daripada 5.9% pada Disember 2022 kepada 5.6% pada Januari 2023) dan pinjaman perniagaan (3.4% kepada 2% bagi tempoh sama).
"Kelemahan pertumbuhan pinjaman keseluruhan adalah disebabkan segmen pinjaman isi rumah iaitu pinjaman pembelian kenderaan kerana kami menjangkakan penurunan jualan kenderaan pada 2023.
"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman kami antara 4% hingga 5% untuk 2023, lebih rendah berbanding 5.7% pada 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, bagi 2023, kualiti aset bank sebahagian besarnya stabil kerana pinjaman terjejas kasar industri meningkat hanya 0.4% dari bulan ke bulan kepada RM35 bilion pada akhir Januari 2023
Sementara itu, nisbah pinjaman terjejas kasar industri meningkat hanya 1 mata asas (bp) kepada 1.73% pada akhir Januari 2023, sebahagiannya disebabkan oleh penguncupan jumlah pinjaman dari bulan ke bulan.
"Kami menjangkakan nisbah pinjaman terjejas kasar bank meningkat kepada 2% pada akhir Disember 2023, memandangkan potensi peningkatan dalam risiko kredit daripada kelembapan ekonomi," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu berdasarkan potensi pemangkin penarafan semula yang menjangkakan pemulihan dalam pertumbuhan pendapatan bukan faedah pada 2023. - DagangNews.com