Pertumbuhan pinjaman RHB Bank diunjur berada antara 4% hingga 5% sejajar dengan sasaran industri, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman RHB Bank diunjur berada antara 4% hingga 5% sejajar dengan sasaran industri, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Kenanga Research menjangkakan pertumbuhan pinjaman RHB Bank Berhad berada antara 4% hingga 5% sejajar dengan sasaran industri yang ditetapkan.

 

Katanya, kumpulan itu masih melihat permintaan yang berterusan daripada komuniti dan segmen perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

"Pembiayaan peribadi dan kad kredit juga kelihatan menyokong, menunjukkan perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh selepas jangkaan kadar faedah yang stabil.

 

"Ini boleh diterjemahkan bagi menyokong prestasi 2HFY23 dan meningkatkan pertumbuhan 1HFY23 sehingga kini sebanyak 1%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun berdepan hakisan margin keuntungan untuk dua suku berturut-turut, kumpulan itu mungkin terus melihat bacaan menurun kerana kadar produk boleh kekal berdaya saing walaupun pesaing mereka secara sedar mengurangkan kadar produk mereka.

 

Katanya, langkah ini tidak didorong kecairan kerana nisbah pinjaman kepada deposit kumpulan masih di bawah 100%. 

 

"Bagaimanapun, ini boleh menyebabkan sasaran margin faedah bersih (NIM) FY23 antara 2.22% hingga 2.25%," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM7.15 sesaham.

 

"Kumpulan itu juga berdepan beberapa cabaran termasuk kemerosotan margin keuntungan lebih tinggi daripada jangkaan selain pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Selain itu mereka juga berdepan kemerosotan kualiti aset yang lebih teruk daripada jangkaan, kelembapan dalam aktiviti pasaran modal selain rsikio turun naik mata wang yang tidak menguntungkan dan perubahan kepada OPR (kadar dasar semalaman)," katanya. - DagangNews.com