KUALA LUMPUR 3 Julai - RHB Investment mengunjurkan pendapatan SKP Resources Bhd kembali meningkat pada FY25 didorong pesanan pelanggan yang kembali normal.
Katanya, kumpulan itu akan mencatatkan keputusan 1QFY25 yang baik dengan anggaran 20% peningkatan hasil dan jangkaan momentum di bawa ke 2QFY25 bagi membolehkan pelanggan utama mendapatkan permintaan perayaan pada akhir tahun.
Firma penyelidikan itu berkata, selepas mengadakan lawatan ke kemudahan pengeluaran syarikat pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), pihaknya memerhatikan bahawa jumlah semakin meningkat daripada normalisasi pesanan pelanggan daripada pelarasan inventori.
"Kami melihat kapasiti ruang lantai yang mencukupi tersedia disebabkan oleh pengembangan kapasiti pada tahun-tahun sebelumnya dan kekurangan permintaan baharu yang ketara oleh pelanggan utama.
"Bagaimanapun, pihak pengurusan menyatakan keyakinan dalam mendapatkan pelanggan baharu menjelang akhir tahun bagi mengisi lebihan kapasiti.
"Ia menggambarkan minat dan pertanyaan daripada syarikat multinasional (MNC) yang ingin mempelbagaikan sumber pembuatan mereka jauh dari China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
RHB Investment berkata, SKP dijadual memulakan barisan pengeluaran kedua bagi pelanggan baharu yang diperolehnya sebelum Oktober 2024.
Katanya, pihaknya telah ditunjukkan kerja penyediaan dan ruang lantai yang diperuntukkan kepada pelanggan ini di Kilang 5 semasa lawatan itu.
"Pengurusan memberi bayanan nilai jualan sebanyak RM100 juta pada tahun pertama dan potensi peningkatan dua kali ganda pada tahun kedua.
"Ketika ini, perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa bakal pelanggan baharu dan SKP yakin akan menerima sekurang-kurangnya satu pelanggan menjelang akhir 2024," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.31 sesaham. - DagangNews.com