Pesona Metro raih kontrak pembinaan kondominium mewah bernilai RM349 juta di Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Pesona Metro raih kontrak pembinaan kondominium mewah bernilai RM349 juta di Kuala Lumpur

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Pesona Metro Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Pesona Metro Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada Land Marker Sdn. Bhd. bagi menyiapkan dua blok kondominium mewah 44 tingkat di Batu, Kuala Lumpur bernilai RM349 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek itu melibatkan pembinaan bangunan utama, kerja-kerja hardscape, kerja luaran dan kerja sampingan lain.

 

Katanya, pembinaan itu juga merangkumi pembinaan satu tingkat kemudahan penduduk di aras 24, tujuh tingkat podium letak kereta dan satu tingkat tempat letak kereta aras bawah selain satu blok rumah kelab tiga tingkat dengan satu tingkat mezanin serta satu pondok pengawal.

 

"Projek itu akan berlangsung selama 36 bulan bermula daripada 8 Februari 2023," katanya.

 

Projek itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat dan ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan meningkatkan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh projek.

 

Risiko projek adalah melibatkan risiko operasi seperti risiko penyiapan, dan risiko kredit.

 

Pesona Metro perlu memastikan pematuhan ketat kepada prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan projek untuk meminimumkan sebarang pendedahan risiko operasi.

 

Pendedahan kepada risiko kredit dipantau secara berterusan dan tindakan akan diambil untuk sebarang hutang tertunggak yang lama. - DagangNews.com