Petra Energy peroleh kontrak lapangan minyak Banang daripada Petronas | DagangNews Skip to main content

Petra Energy peroleh kontrak lapangan minyak Banang daripada Petronas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Petronas menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) menganugerahkan Petra Energy Development Sdn Bhd Kontrak Perkongsian Pengeluaran Late Life Asset (LLA PSC) bagi lapangan minyak Banang yang terletak di luar pesisir pantai Semenanjung Malaysia bermula 1 Jun 2024.

 

Petra Energy Development adalah anak syarikat Petra Energy Bhd dan merupakan pengendali lapangan dengan pegangan penuh.

 

Bagaimanapun tiada nilai khusus didtetapkan di dalam surat anugerah (LOA) itu dan tempoh kontrak itu selama 10 tahun bermula 1 Jun 2024 hingga 1 Jun 2034.

 

"Lapangan Banang terletak kira-kira 70km dari Kuala Terengganu, di luar pantai timur Semenanjung Malaysia.

 

"Petra Energy Development berada dalam kedudukan baik untuk melaksanakan PSC ini, setelah mula bekerja di lapangan minyak Banang pada 2012, di bawah perjanjian Kontrak Perkongsian Risiko yang berjaya sebagai rakan kongsi dalam Coastal Energy (KBM) Sdn Bhd untuk kluster Kapal Banang Meranti.

 

petra

 

"Penganugerahan PSC baru-baru ini kepada PEDSB mewakili perkembangan strategik kami menjadi Operator PSC huluan, mengukuhkan komitmen dan keupayaan kami yang semakin meningkat dalam bidang tersebut," katanya dalam satau kenyataan, hari ini.

 

Katanya, penganugerahan LLA PSC Banang menambah portfolio pengendalian Petra Energy Development.

 

“Petra Energy Development juga merupakan pengendali Blok SK433, daratan Miri, Sarawak, dengan Petroleum Sarawak (Petros), yang syarikat itu telah dianugerahkan pada Julai 2021," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra, Datuk Anthony Bujang berterima kasih kepada Petronas kerana menganugerahkan kontrak itu dan terus mempercayai kemampuan kumpulan itu.

 

Beliau berkata, anugerah itu mencerminkan rekod prestasi Petra dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam meningkatkan rantaian nilai sebagai pengendali.

 

"Dengan pengalaman kami di lapangan minyak Banang, bersedia untuk memastikan operasi dijalankan dengan selamat dan cekap," katanya.- DagangNews.com