Petronas umum Cendor Timur Blok PM304 capai pengeluaran minyak pertama | DagangNews Skip to main content

Petronas umum Cendor Timur Blok PM304 capai pengeluaran minyak pertama

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Cendor Timur di bawah Blok PM304 yang terletak 140 kilometer di luar pesisir Semenanjung Malaysia mencapai pengeluaran minyak yang pertama pada 23 Jun lalu, menurut Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

 

Lapangan minyak itu dibangunkan oleh Petrofac (Malaysia) Limited (Petrofac), Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. di bawah Blok PM304 menerusi kontrak perkongsian pengeluaran (PSC). 

 

Petrofac merupakan operator bagi blok tersebut. 

 

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, kejayaan pengeluaran minyak yang pertama di Cendor Timur ini membuktikan lembah ini mempunyai hidrokarbon yang matang.  

 

Katanya, Blok PM304 bermula dengan pembangunan lapangan yang kecil dengan pengeluaran pertama dari Cendor pada 2006.

 

"Bagaimanapun, jumlah pengeluaran semakin berkembang didorong usaha berterusan untuk meningkatkan potensi blok ini, yang ternyata besar.

 

"Oleh itu, kejayaan ini akan menarik lebih banyak aktiviti pembangunan pada masa hadapan bagi menjana sumber sedia ada di Blok PM304," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Cendor Timur mewakili rangkaian pembangunan keempat di Blok PM304, selepas Cendor, Desaru Barat dan Irama.

 

Projek ini terdiri daripada pembangunan tunggal baharu Wellhead Platform (WHP) dan pemasangan saluran paip sepanjang 6.3 kilometer yang menghubungkan lapangan dengan FPSO Cendor sedia ada. 

 

Kadar pengeluaran lapangan minyak ini akan mencapai lebih 7,000 tong minyak sehari sekali gus membantu melanjutkan kitaran hayat ekonomi bagi Blok PM304. - DagangNews.com